Banjir: 19 Bayi Antara 35 Mangsa Diselamatkan Bomba

JOHOR BAHRU – Seramai 19 bayi antara 35 mangsa banjir diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dua lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I KUP Zakaria Mohamed berkata, dalam kejadian di sebuah taska dan tadika di Kampung Mohd Amin pada petang semalam, seramai 34 mangsa telah dipindahkan selepas terperangkap akibat banjir.

Menurut beliau, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang sebelum dan menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sembilan anggota BBP Larkin ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati terdapat 34 mangsa iaitu 18 bayi, 10 kanak-kanak, lima guru dan seorang tukang masak terperangkap di premis berkenaan.

“Kesemua mangsa dipindahkan dengan selamat menggunakan bot penyelamat, dengan bantuan empat anggota Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I Wan Nor Afandi Wan Yusoff dalam kenyataan berasingan memaklumkan, BBP Kempas turut menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang terperangkap di rumah pengasuhnya di Kampung Pasir, di sini dan diserahkan kepada ibunya dengan selamat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *