Gelora Rasa

ADALAH hasil buah tangan seorang pengamal media yang pernah mengajar di menara ilmu dan seterusnya menggalas amanah sebagai setiausaha akhbar kepada seorang tokoh politik terkenal tanah air.

Beliau telah menghadirkan sebuah karya yang tumbuh daripada perjalanan panjang kehidupannya, suatu perjalanan yang merakam bagaimana kata-kata, ungkapan dan puisi disemaikan perlahan-lahan sebelum dibukukan menjadi sebentuk dunia kecil yang sarat makna.

Gelora Rasa ialah sebuah himpunan kata, puisi dan renungan yang muncul daripada denyut rasa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, buah tangan Mohd Shah Abdullah @ MSA.

Dengarlah luahan hatinya ketika mengisahkan asal-usul naskhah ini – bahawa ia lahir bukan daripada keangkuhan seorang penyair besar, bukan juga dari mendabik dada seorang seniman, sebaliknya terbit dari hati seorang insan biasa yang tunduk akrab kepada pesona bahasa, kesejukan renungan dan kesederhanaan alam.

Maka berdirilah Gelora Rasa sebagai saksi kepada perjalanan kata yang memancar dari gempita jiwa, gerak hati dan bisikan nurani; ada waktunya ia datang ketika kita menyendiri di ruang sunyi, ada waktunya pula ketika kita ditenggelamkan oleh keramaian, atau sewaktu mata kita terpaut pada hijau yang merimbun, pohon-pohon yang bernafas dalam angin, dan bisikan lembut alam yang sering menyingsingkan tabir ilham tanpa amaran.

Sering juga, kicau unggas dari kejauhan membangunkan satu getar halus dalam dada, dan dari getar itu muncullah kata-kata yang mengalir seperti air yang mencari sungai; pada detik itulah kita disentuh ilham secara bening, jujur dan tanpa dipaksa.

Lalu lahirlah himpunan ini – Gelora Rasa – yang terbit daripada renungan yang lama bergema, pemerhatian yang teliti, tafakur yang meresap ke akar batin, dan ilham yang datang bagai tetamu misteri yang tidak diundang, namun selalu dirindui.

Jika mahu dinamakan puisi, kita akui bahawa kita bukan sasterawan ulung, bukan penyair gah yang membina istana kata, hanya pencinta estetika yang sederhana, yang menadah setiap getar kehidupan dengan hati yang rela terbuka.

Bahasa, irama puitis, dan gemersik suara yang menari dalam buku, majalah, makalah, wacana, ucapan awam dan gelombang medsos, semuanya menjentik rasa, membangunkan nurani yang tertidur, mengajak kita pulang kepada keindahan yang semakin dilupakan oleh dunia moden.

Angin yang lalu pun membawa estetika; hujan yang menitis menemukan ilham yang subur; kokokan ayam pada malam atau siang mengundang kita untuk mendengar zikir alam; bahkan riuh rendah itik angsa kadang-kadang mampu menerbitkan gelora rasa yang tidak kita jangka.

Embun pagi yang jatuh perlahan sering menjadi salam lembut daripada ilham yang menyusur masuk ke dalam dada, dan bermain dengan aksara menjadi suatu keindahan yang sehalus menikmati lukisan alam yang menyegarkan jiwa.

Namun, estetika, kelembutan aksara dan permainan kata yang lunak kini semakin jauh daripada minat sebahagian manusia moden; dunia lebih mengangkat carut-marut, kata kesat dan kelucahan, sedangkan adab perlahan-lahan meluruh dari tangan kita.

Jika kebiadaban itu dibiarkan tumbuh tanpa sekatan, tanpa tapisan, tanpa penjaga yang memelihara kewarasan, kita khuatir masyarakat bakal musnah dan kehilangan makna; lalu apakah lagi yang tersisa apabila semuanya hilang ditelan zaman?

Justeru, Gelora Rasa tidak muncul sebagai suara memberontak, bukan protes, bukan kemarahan yang menggelegak atau kritikan yang mencarikkan hati; ia hadir sebagai bisikan nurani yang ingin mengingatkan bahawa hidup ini, meskipun sarat onak, tetap indah, lembut, santun, ramah dan penuh pesonanya sendiri.

Pada usia dan tahap kehidupan sebegini, kejujuran kepada hati menjadi kompas paling setia kerana kita tidak ingin menyesal pada kemudian hari, tidak mahu menangis ketika waktu sudah jauh meninggalkan kita.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *