EPB Group catat lonjakan untung bersih 17 peratus

KUALA LUMPUR – EPB Group Bhd (EPB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 17.55 peratus kepada RM3.69 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM3.14 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu dicapai walaupun hasil kumpulan susut 18.36 peratus kepada RM31.41 juta bagi suku dikaji, dipengaruhi penghantaran lebih rendah dalam segmen penyelesaian jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan serta bahan pembungkusan fleksibel.

Menurut kenyataan syarikat, penurunan hasil tidak menjejaskan keuntungan keseluruhan kerana kumpulan berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 16.36 peratus kepada RM4.87 juta.

Peningkatan itu disokong pengurangan perbelanjaan pentadbiran dan kerugian belum direalisasi yang lebih rendah berhubung pertukaran asing.

Pengarah Urusan EPB, Yeoh Chee Min, berkata keputusan suku ketiga menunjukkan keupayaan syarikat mempertahankan margin dan mengekalkan hasil meskipun berdepan turun naik dalam kitaran penghantaran dan masa pesanan yang tidak menentu.

Katanya, pemulihan keuntungan turut mencerminkan kejayaan inisiatif penambahbaikan operasi dan disiplin kos dalam menghadapi cabaran pasaran.

Secara suku tahunan, prestasi EPB menunjukkan pemulihan ketara apabila hasil meningkat 6.06 peratus manakala keuntungan bersih melonjak 42.56 peratus berbanding suku kedua, didorong jualan jentera kepada pelanggan di Filipina dan pasaran tempatan.

Kedudukan kewangan kumpulan turut disokong oleh jumlah buku pesanan kukuh bernilai RM69.56 juta setakat 31 Oktober 2025. Daripada jumlah itu, sebanyak RM32.81 juta dijangka direalisasikan dalam baki tahun kewangan 2025, manakala RM36.75 juta lagi akan dihantar sepanjang tahun kewangan 2026, memberi kepastian kepada aliran pendapatan masa depan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, EPB merekodkan hasil RM88.27 juta, meningkat 13.63 peratus berbanding RM77.69 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu pertumbuhan kukuh segmen jentera.

Dalam masa sama, kilang baharu kumpulan di Pulau Pinang dijangka siap pada separuh pertama 2026 bagi memenuhi permintaan automasi dalam pemprosesan makanan yang terus meningkat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *