PUTRAJAYA – Bekas pembantu Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, bagi menyambung memberi keterangan pada hari kedua siasatan.
James Chai tiba pada jam 9.45 pagi bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.
Semalam, James Chai turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi dan mengambil masa lebih lapan jam memberi keterangan.
Pada 1 April lalu, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes melibatkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
Pada 16 Februari, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas berhenti daripada sebuah kementerian. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L