UPSI kukuh relevansi DPLI selaras keperluan pendidikan semasa

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sebagai antara program persediaan perguruan paling relevan di negara ini melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan yang selari dengan keperluan pendidikan semasa.

Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Prof. Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, relevansi program DPLI dipastikan melalui semakan kurikulum setiap lima tahun, melibatkan industri, institusi pendidikan dan pakar akademik bagi mengekalkan mutu serta memastikan kandungannya terus relevan dengan perubahan sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, proses penyemakan terbabit turut memastikan program itu mematuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO), sekali gus menjamin keberkesanan latihan guru yang ditawarkan UPSI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi kelima Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27, yang menyaksikan fakulti itu meraikan seramai 973 graduan DPLI pada tahun ini.

Kata beliau, kurikulum yang disusun semula turut menekankan kemahiran abad ke-21 berasaskan 4C iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis bagi melahirkan guru progresif dan mampu berfikir secara reflektif.

“Kadar kebolehpasaran graduan UPSI kekal melebihi 95 peratus, dan graduan DPLI menjadi penyumbang terbesar kepada pencapaian 97 peratus pada tahun 2025.

“Penilaian latihan mengajar secara komprehensif oleh penyelia sekolah dan pensyarah UPSI memastikan pelajar menguasai kemahiran pedagogi, pengurusan bilik darjah dan profesionalisme keguruan sebelum ditempatkan di sekolah.

Jelasnya lagi, UPSI turut memberi tumpuan kepada latihan profesional berterusan dengan memperkenalkan teknologi pendidikan semasa, aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Mengenai inovasi pembelajaran, Dr. Abdul Talib berkata, UPSI melaksanakan usaha pendigitalan menyeluruh bagi program DPLI berdasarkan piawaian “Standard-based Teachers Education” dan “Malaysian Teacher Standard”.

“UPSI juga menggalakkan penggunaan pedagogi berasaskan data, amalan informed teaching dan kaedah flipped classroom, disokong oleh infrastruktur digital seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan perpustakaan digital berjumlah lebih dua juta bahan,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *