KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini melakar satu lagi langkah penting dalam penambahbaikan rangkaian keselamatan negara apabila sistem panggilan kecemasan baharu, Next Generation Emergency Services (NG999), mula beroperasi secara rasmi.
Sistem ini menggantikan platform lama Malaysian Emergency Responses 999 (MERS999) yang telah digunakan sejak lebih sedekad lalu.
Pelaksanaan NG999 menandakan permulaan era baharu dalam pengurusan kecemasan negara, dengan teknologi komunikasi dan pemprosesan maklumat yang lebih canggih, cepat dan terintegrasi.
Seiring pelancaran ini, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih SaveME999 melalui AppStore atau Google Play.
Aplikasi tersebut direka khas bagi memudahkan orang awam menghantar maklumat kecemasan dengan lebih tepat dan pantas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau saluran digital lain.
Sejak semalam, pengguna turut menerima mesej SMS yang menekankan kepentingan menjaga integriti talian kecemasan.
“Sila elakkan penyalahgunaan talian kecemasan,” demikian menurut peringatan itu.
NG999 bukan sekadar sistem panggilan kecemasan baharu, tetapi merupakan satu platform digital strategik yang menggabungkan pelbagai sumber dan data daripada pusat panggilan kecemasan serta agensi penyelamat di seluruh negara.
Penyepaduan ini membolehkan maklumat dihantar dan diproses dengan lebih cekap, seterusnya mempercepatkan respons terhadap sesuatu insiden.
Melalui infrastruktur dan ciri baharu, NG999 mampu meningkatkan ketepatan koordinasi antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Maritim Malaysia.
Pada 1 Julai tahun lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan, NG999 dibangunkan untuk menyokong keperluan operasi kecemasan moden.
Beliau berkata, sistem ini kini menyepadukan beberapa komponen teknologi utama termasuk peta digital berasaskan web, pengenalan ID pemanggil secara automatik, perkhidmatan geolokasi berketepatan tinggi, teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pengurusan data dan aplikasi pintar mudah alih untuk pemakluman insiden.
Semua elemen ini membolehkan panggilan kecemasan ditangani dengan lebih pantas, tepat dan efisien, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
Menurut Teo, pelaksanaan NG999 turut melibatkan peluasan liputan sistem ke lebih 800 lokasi di seluruh negara, iaitu dua kali ganda berbanding jumlah lokasi yang disokong oleh MERS999 sebelum ini.
Perluasan ini bertujuan mempertingkatkan ketersediaan sistem terutama di kawasan luar bandar dan lokasi terpencil.
Dengan pelancaran NG999, kerajaan berharap infrastruktur keselamatan negara dapat terus dimodenkan, seterusnya memastikan rakyat menerima perkhidmatan kecemasan yang lebih responsif, berkesan dan mesra pengguna.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
