KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menegaskan, larangan penyajian dan penganjuran arak di sekolah mesti dihormati oleh semua pihak selaras dengan peraturan sedia ada serta dasar kerajaan yang tegas terhadap perkara tersebut.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menjelaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melibatkan arak di kawasan sekolah.
Tambahnya lagi, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 turut memperincikan larangan terhadap sumbangan dan aktiviti yang melibatkan perjudian, rokok, dadah serta minuman keras di institusi pendidikan.
“Peraturan ini penting untuk memastikan sekolah kekal sebagai institusi bebas daripada pengaruh negatif seperti ketagihan alkohol, selain memupuk budaya Malaysia yang sihat dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz turut menekankan, pembinaan budaya Malaysia yang berteraskan perpaduan dan kesopanan perlu dijadikan asas dalam membina masyarakat yang harmoni.
Katanya, Rukun Negara, khususnya prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan wajar dijadikan panduan utama dalam mendidik rakyat berbilang kaum.
Beliau menjelaskan, undang-undang sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 telah menetapkan garis panduan ketat terhadap penjualan arak, termasuk larangan menjual kepada individu berumur bawah 21 tahun serta kewajipan meletakkan tanda larangan di premis jualan.
“Peraturan-peraturan ini jelas menunjukkan penjualan dan penggunaan arak dikawal demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Faiz menyeru semua pihak untuk menghormati peraturan dan garis panduan sedia ada bagi memastikan sekolah kekal bebas daripada pengaruh arak dan terus menjadi tempat pembentukan sahsiah generasi muda.
“Dari sudut undang-undang, kawalan terhadap minuman arak ini adalah sah serta berada dalam ruang lingkup Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001