KUALA LUMPUR – Magma Group Bhd. (Magma), sebuah konglomerat tempatan dengan kepentingan dalam sektor hospitaliti dan pembangunan hartanah, hari ini mengumumkan pelupusan strategik bersama KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. (KLCC Holdings) membabitkan Hotel Impiana KLCC kepada Harum Aspirasi Sdn. Bhd. (HASB) menerusi perjanjian jualan saham (SSA).
Melalui perjanjian itu, KLCC Holdings akan menjual 80 peratus pegangan ekuitinya, manakala anak syarikat milik penuh Magma, Astaka Mekar Sdn. Bhd. (AMSB) akan melupuskan baki 20 peratus pegangan dalam Heritage Lane Sdn. Bhd. (HLSB), pemilik Hotel Impiana KLCC.
Jumlah pertimbangan pelupusan itu dianggarkan bernilai RM315 juta, melebihi penilaian pasaran sebanyak RM300 juta yang mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi sektor hospitaliti di ibu negara.
Magma dan KLCC Holdings menjelaskan bahawa keputusan itu adalah langkah strategik untuk mengoptimumkan nilai portfolio masing-masing sambil memastikan hotel berkenaan terus berkembang di bawah pemilikan baharu.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Magma, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, hotel itu merupakan sebahagian penting dalam perjalanan perniagaan syarikat.
“Hospitaliti sentiasa menjadi teras Magma, dan Impiana KLCC ialah aset yang membanggakan kami. Penjualan bersama dengan KLCC Holdings ini adalah langkah strategik untuk membuka nilai dan membolehkan fasa pertumbuhan baharu di bawah rakan kongsi yang kukuh.
“Hasil daripada transaksi ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kami serta menyokong rancangan pengembangan kumpulan dalam bidang gaya hidup dan pembangunan hartanah,” katanya.
Magma dijangka menerima hasil tunai sebanyak RM63 juta bagi pelupusan 20 peratus kepentingannya.
Dana itu akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman, pelaburan strategik dalam perniagaan sedia ada serta modal kerja, yang akan meningkatkan keupayaan kewangan kumpulan.
Selepas transaksi selesai, HLSB tidak lagi akan menjadi syarikat bersekutu Magma.
Pelupusan itu dijangka menjana keuntungan pro forma dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kumpulan.
Cadangan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang dijadual diadakan tidak lama lagi, dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2026.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001