Puteri UMNO Aktifkan Pelan Kesiapsiagaan Hadapi PRN Sabah

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengaktifkan pelan kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebagai langkah memperkukuh jentera wanita muda di negeri itu.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, persiapan itu telah dijalankan sejak awal tahun dengan pelbagai gerak kerja strategik bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Puteri UMNO mengetengahkan calon wanita muda untuk diberi peluang dalam PRN kali ini. Senarai nama telah diserahkan kepada pimpinan tertinggi BN sebagai cerminan cita rasa pengundi muda Sabah yang progresif dan inklusif,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, Puteri UMNO beriltizam memastikan peranan wanita muda bukan sekadar sebagai penggerak akar umbi, tetapi turut menjadi sebahagian daripada saf kepimpinan yang mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti.

“Kita mahu membina masa depan politik Sabah yang berteraskan kestabilan dan kemakmuran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, pergerakan itu akan terus mendekati golongan muda menerusi pelbagai program santai berimpak tinggi.

Antaranya, kata beliau, ialah program “Sabahan Culture Fun Run” yang akan diadakan pada 18 Oktober ini, hasil kolaborasi bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami berharap anak muda Sabah hadir beramai-ramai menyertai program ini. Ia bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi platform bagi kami mendengar suara dan aspirasi generasi muda,” jelasnya.

Nurul Amal menegaskan, Puteri UMNO komited menjadi suara kepada golongan muda Sabah menjelang PRN akan datang, selain memastikan peranan wanita muda terus diperkasa dalam landskap politik negeri tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *