SHAH ALAM – Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah hari ini menetapkan 3 hingga 30 September ini sebagai tarikh pendengaran inkues kematian pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 17 Julai lalu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Koroner Azrina Aziz dalam sesi sebutan kes yang berlangsung di mahkamah itu pagi ini.
Sebutan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Untuk makluman, dalam prosiding mahkamah, sebutan inkues adalah penetapan satu tarikh bagi tujuan pengurusan kes, bukan untuk memulakan pendengaran keterangan daripada saksi atau hujahan.
Fungsinya, mengatur jadual inkues, iaitu mahkamah akan berbincang dengan pihak terlibat seperti koroner, timbalan pendakwa raya, peguam dan lain-lain untuk menetapkan tarikh sebenar perbicaraan inkues.
Di situ akan berlaku semakan status kes, iaitu menentukan sama ada dokumen dan laporan penting seperti laporan bedah siasat, laporan polis dan bukti forensik sudah lengkap untuk prosiding penuh.
Jika ada permohonan awal dari peguam seperti bantahan, permohonan tambahan siasatan atau cadangan saksi, ia akan dibangkitkan ketika sebutan.
Pengesahan kehadiran pihak bagi memastikan semua pihak berkepentingan, iaitu pendakwa, keluarga si mati, peguam hadir dan bersedia.
Dengan adanya sebutan, semua persediaan disemak dahulu supaya apabila inkues bermula nanti, ia berjalan lancar tanpa tertangguh kerana dokumen atau saksi belum tersedia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001