Suami isteri ditemukan rentung dalam kebakaran

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kota Belud, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mamat@ Jamrin Sinti dan isterinya, Noorijah Rashid, masing-masing berusia 47 tahun, ditemui di dalam bilik mandi rumah berkenaan, dalam kejadian di Kampung Sangkir itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi.

Kata beliau, pihaknya kemudian menggerakkan sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Sebaik api berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi, terdapat dua mangsa ditemui rentung di bilik mandi rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Tambahnya lagi, bomba menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari jentera untuk memadam kebakaran.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan jam 4.55 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kota Belud, Shahrudin Mat Husain, berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.

“Lelaki berkenaan bekerja sebagai penoreh getah dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *