PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membohongi rakyat dengan memberi alasan Kabinet tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh disebabkan faktor usia negarawan itu.
Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu (SOM), Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, alasan sebenar ialah kerajaan Madani tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk mengheret mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu ke mahkamah.
“Lebih baik Anwar berterus terang sahaja kepada rakyat, Tun Dr. Mahathir dipihak yang benar dalam isu itu, bukan beri alasan faktor usia untuk tidak mendakwanya.
“Kalau alasan Tun M sudah tua, kenapa beliau mengarahkan SPRM menyiasat dan mengambil tindakan mahkamah ke atas Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang ketika itu berusia 86 tahun? Sedangkan dia boleh saja memaklumkan jangan ambil apa-apa tindakan kerana bekas Menteri Kewangan itu sudah lanjut usia.
“Tetapi, Tun Daim walaupun dalam keadaan uzur terus ditekan. Semua harta serta asetnya yang diusaha melalui perniagaan yang sah sejak sekian lama dirampas dan dibekukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar di Parlimen hari ini, yang menyatakan Kabinet membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Tun Dr. Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh, dengan alasan usianya yang sudah lanjut.
Menurut Marzuki, alasan Anwar itu boleh difahami sebagai suatu reaksi terhadap perkembangan atau ketidakwujudan tindakan undang-undang yang tegas dalam isu berkenaan.
Katanya, sebelum ini kerajaan Madani beberapa kali menyatakan akan menyiasat keputusan pentadbiran Tun Dr. Mahathir yang menarik semula semakan keputusan ICJ mengenai Batu Puteh, tetapi hingga kini belum ada pendakwaan rasmi atau tindakan mahkamah dilakukan.
“Dalam sistem perundangan, pendakwaan terhadap individu, lebih-lebih lagi tokoh negarawan itu perlu disokong bukti yang jelas, spesifik dan kukuh.
“Sekiranya kerajaan tidak membawa kes ke mahkamah selepas bertahun menyatakan komitmen untuk menyiasat, ia boleh dilihat sebagai ketiadaan bukti jenayah, risiko tuduhan bersifat politik, kebimbangan terhadap kesan reputasi kerajaan jika kes gagal.
“Isu Batu Puteh ini sering kali ditimbulkan dalam ucapan politik, terutama oleh kerajaan Madani atau pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menunjukkan kesilapan pentadbiran lalu,” katanya.
Kata beliau, Tun Dr. Mahathir sendiri pernah menjelaskan, keputusan menarik balik semakan semula dibuat selepas dinilai oleh Peguam Negara ketika itu dan berdasarkan fakta serta kebarangkalian kejayaan yang rendah.
Ujarnya lagi, berdasarkan pemerhatian umum dan perkembangan semasa, kerajaan Madani sebenarnya tidak mempunyai bukti yang cukup hendak mendakwa Tun Dr. Mahathir atau setidak-tidaknya belum bersedia untuk membuktikannya di mahkamah.
“Tanpa tindakan undang-undang yang jelas, persepsi rakyat mudah terbentuk bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atas Tun Dr. Mahathir tidak lebih dari satu naratif politik,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001