Penduduk terkejut lubang benam 'telan' jalan raya di Britain

Penduduk terkejut lubang benam ‘telan’ jalan raya di Britain

20/02/2025:

LONDON – Penduduk sebuah kampung di tenggara England terkejut dengan kejadian lubang benam di jalan raya semakin membesar, memaksa pihak berkuasa meminta penduduk itu melakukan evakuasi.

Lubang benam pertama muncul di jalan utama kampung Godstone pada lewat Isnin lalu dan membesar menjadi lebih 20 meter (65 kaki) panjang kira-kira sepanjang seekor paus biru.

Lubang kedua pula muncul semalam di laluan sama, di mana puluhan rumah dikelilingi oleh polis dan sudah mengarahkan penduduk di sekitarnya dipindahkan.

Majlis Daerah Surrey mengisytiharkan kejadian itu sebagai ‘insiden besar’ walaupun tiada kecederaan dilaporkan.

Rakaman udara menunjukkan satu daripada lubang itu dipenuhi air, manakala roda belakang sebuah kereta yang diparkir berada hampir di tepi lubang satu lagi.

Pemilik garaj, Shane Fry, yang bengkel kerjanya terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, berkata lubang pertama kelihatan seperti kolam.

“Ini agak gila tetapi saya cuba untuk berfikir dengan lebih rasional,” kata lelaki berusia 34 tahun itu kepada AFP.

Beliau bimbang mengenai kesan terhadap perniagaannya dan menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan pembaikan.

Punca kejadian ini masih belum jelas dan pihak berkuasa telah meminta satu siasatan dijalankan.

Teori (punca berlakunya lubang benam,) termasuk lalu lintas yang padat, paip air pecah dan komposisi batu di bawah jalan terbabit.

“Kawasan ini akan terus dinilai oleh pakar struktur, untuk menguruskan risiko dan memahami apa yang perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan dan melakukan pembaikan,” kata Penolong Pengarah Majlis Daerah, Carl Bussey, dalam satu kenyataan.

Lubang benam yang besar jarang berlaku di Britain, di mana penduduk sering merungut mengenai lubang yang lebih kecil di jalan raya mereka.

Di Jepun, ribuan kes jalan berlubang dilaporkan setiap tahun dipercayai akibat sistem saluran paip yang uzur selain cuaca ekstrem yang membadai negara itu.

Pada awal bulan ini, sebuah kawah selebar 40 meter terbuka berhampiran Tokyo, menelan sebuah lori dan pemandunya yang berusia 74 tahun, yang dipercayai telah meninggal dunia dalam kejadian itu. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *