PERTAHANAN Manchester United, Lisandro Martinez, berdepan kemungkinan untuk diketepikan daripada baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen lutut anterior cruciate.
Pemain Argentina itu mengalami kecederaan tersebut ketika perlawanan menentang Crystal Palace di Stadium Old Trafford pada Ahad lalu, yang menyaksikan United tewas 0-2.
Martinez terpaksa diusung keluar padang pada separuh masa kedua akibat kecederaan lutut yang serius selepas bertembung dengan penyerang Palace, Ismaila Sarr.
“Penilaian kecederaan sedang dijalankan untuk menentukan rawatan yang sesuai dan tempoh pemulihan,” kata kenyataan rasmi kelab pada Khamis.
Masalah kecederaan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada United, malah Argentina juga terpaksa melupakan khidmat Martinez dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Brazil bulan depan.
Martinez menyertai senarai panjang pemain United yang cedera, termasuk Mason Mount, Luke Shaw dan Jonny Evans.
Situasi ini pastinya menyukarkan lagi tugas pengendali Ruben Amorim mengatur strategi dalam memperbaiki kedudukan pasukan.
Sebagai rekod, Martinez merupakan tonggak penting di barisan pertahanan United, sama ada sebagai bek tengah kiri dalam formasi tiga bek atau empat bek.
Pemain berusia 27 tahun itu membuat 24 penampilan dalam semua pertandingan musim ini menjaringkan dua gol – gol pembukaan ketika seri 2-2 menentang Liverpool dan gol kemenangan 1-0 ke atas Fulham.
Ini bukanlah kali pertama Martinez mengalami kecederaan ligamen apabila tahun lalu dia juga mengalami kecederaan sama dan terpaksa berehat selama dua bulan.
United, yang kini berada di tangga ke-13 liga, akan menerima kunjungan Leicester City dalam pusingan keempat Piala FA pada Sabtu ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252