KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) terkesan dengan berita pemergian selama-lamanya mantan Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Timbalan Pengerusinya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, jasa Daim sebagai Pengerusi Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 khusus dalam pemulihan krisis Tabung Haji (TH) akan dikenang selamanya.
Katanya, bermula dari situlah kerangka penstrukturan semula TH digerakkan tahun 2018 hingga 2020 dan Alhamdulillah sehinggal kini TH berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang.
“Ketika PH 1.0 menjadi kerajaan pasca PRU-14 satu Majlis Penasihat Kerajaan dikenali sebagai Council of Eminient Person’s (CEP) dibentuk pada Mei 2018.
“Salah satu misi besar CEP adalah pemulihan Tabung Haji yang ketika itu mengalami defisit RM4 bilion dan terus membengkak kepada RM10 bilion pada penghujung 2018.
“Allahyarham Daim dilantik sebagai Pengerusi dan Timbalannya, Tan Sri Zeti dan lain-lain pakar yang terkenal. Antara dapatan awal Majlis Penasihat ini adalah terdapatnya kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga TH mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas beliau, ini termasuk isu tatakelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan.
Selepas itu, kata Dr. Mujahid, jawatankuasa itu melantik Tan Sri Mohd Nor Yusof sebagai Pengerusi baharu dan Datuk Seri Zukri sebagai CEO baru.
“Ketika saya diberikan amanah sebagai Menteri Agama misi pemulihan diserahkan kepada saya sebagai Menteri bertanggungjawab untuk dilaksanakan,” katanya.
Allahyarham Daim meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini semalam, pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan sejak dua minggu lalu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252