KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menzahirkan kebimbangan dengan pendirian tidak tetap Anwar Ibrahim berhubung isu pengiktirafan negara haram Israel.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, jawapan Perdana Menteri dalam wawancara dengan wartawan CNN Richard Quest baru-baru ini menunjukkan siapa sebenarnya Anwar.
“Perkasa amat bimbang dengan jawapan itu, sedangkan mengikut sejarah, Yahudi datang dari eropah ke bumi Palestin.
“Justeru, Perkasa menuntut penjelasan dari Anwar kerana selama ini mendakwa dirinya adalah pejuang Palestin, tetapi dalam masa sama mengiktiraf Israel sebuah negara haram untuk hak mempertahankan diri.
“Perkasa juga mempersoalkan adakah slogan kemanusiaan solidariti untuk rakyat Palestin yang dilaungkannya selama ini ikhlas dari hati seorang Perdana Menteri ataupun hanya retorik semata mata?” soal beliau menerusi kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dalam wawancara itu, wartawan terbabit bertanyakan adakah Israel berhak wujud dan Anwar menjawab ‘ya’.
Begitu juga Perdana Menteri memberi jawapan ‘ya’ kepada soalan bahawa Israel berhak mempertahankan dirinya.
Irwan Fahmi berharap Anwar tidak bersikap hipokrit dalam menyatakan sesuatu pendirian, apatah lagi melibatkan genosid rakyat Palestin oleh Israel.
“Apakah Perdana Menteri lupa Harold MacMichael adalah Colonial British Administrator yang serve High Commissioner British di Palestin pada tahun 1942 terlibat melahirkan negara haram Israel.
“Dia jugalah yang mencadangkan penubuhan Malayan Union di Malaya pada tahun 1945 selepas menyerahkan Palestin kepada yahudi.
“Selaku Perdana Menteri kamu tiada hak atau asas untuk mengiktiraf Isreal sebuah negara, yang mana kita antara negara yang kuat menentang Israel, sedangkan daripada The Malay State selepas merdeka kita tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara,” tegas beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252