BERITA UTAMA
Tun Daim berperanan penting kemudi ekonomi negara di waktu mencabar

Pertuduhan dihadapi Allahyarham Daim: Pendakwaan belum terima keputusan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan belum menerima keputusan daripada Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Menurut sumber Jabatan Peguam Negara (AGC), Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diputuskan.

Ia sebagaimana dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, semalam, bahawa tindakan seterusnya akan diputuskan oleh TPR setelah perbincangan dilakukan pihak SPRM bersama pihak terbabit.

Azam dipetik berkata, pihaknya akan membincangkan tindakan seterusnya dengan pihak TPR dan bagaimana pemergian Allahyarham berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan dilakukan.

Sementara itu, pada pengurusan kes rayuan Allahyarham supaya pertuduhan gagal mengisytiharkan harta dibicarakan bersama kes isterinya, hari ini, Penolong Kanan Pendaftar memaklumkan bahawa alasan penghakiman belum sedia.

Peguam Allahyarham pula memohon satu tarikh untuk mendapatkan arahan keluarga berkenaan rayuan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari 2025 untuk pengurusan kes bagi arahan selanjutnya.

Pada 29 Januari lalu, Allahyarham Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta, termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak serta Kedah.

Isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta, termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Allahyarham Daim meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, semalam, pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan sejak dua minggu lalu.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *