KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terkejut dengan insiden pengibaran bendera negara China di pekarangan Menara Condong, di Teluk Intan, Perak malam kelmarin.
Kejadian itu tular di media sosial gambar yang menyaksikan sekumpulan orang ramai keturunan Tionghua berarak dan mengibarkan bendera negara komunis China.
Ketua Penerangan Perkasa Perak, Mohd Safian Sauri Pandak Abd. Samad berkata, polis negeri itu telah mengesahkan perarakan dan perhimpunan tersebut melanggar undang-undang negara di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit , serta Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
“Teluk Intan adalah sebuah penempatan awal orang Melayu iaitu sebelum kedatangan imigran dari kaum Cina dan India.
“Teluk Intan juga merupakan penempatan yang mempunyai kedaulatan, maruah dan peradaban serta ketamadunan yang istimewa bagi orang Melayu.
“Nama Teluk Intan diabadikan dari nama seorang saudagar perempuan Melayu yang kaya raya iaitu Mak Intan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, Sultan Perak ke-31, Almarhum Sultan Abdul Aziz Al Mus’tasim Ibni Almarhum Raja Muda Musa telah menjadikannya sebagai pusat pentadbiran baginda serta bersemayam di Istana Baginda di Teluk Intan.
Mohd Safian Sauri berkata, Perkasa bimbang jika ada usaha dari pihak tertentu yang sedang secara licik untuk mengubah sosio budaya di kalangan rakyat tempatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang berwajib mengambil tindakan paling tegas agar insiden yang sama tidak berulang lagi.
“Perlu diingatkan, tiada pilih kasih dalam melaksanakan kedaulatan undang-undang tanpa menghiraukan sebarang tekanan politik.
“Perkasa ingin mengingatkan agar keharmonian antara kaum jangan dicagar kerana jika terlalu kerap cuba menjolok sarang tebuan pasti buruk padah yang menanti,” tegasnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252