KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memandang serius kejadian pengibaran bendera China di Teluk Intan malam kelmarin.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan, pihaknya kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam isu itu.
Kata beliau, kejadian itu mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, selain Parti Amanah merasa kesal penganjur yang tidak sensitif menghalang pihak tertentu dari meneruskan tindakan mereka itu.
“Justeru, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pihak penganjur yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam kelalaian mereka.
“Peristiwa ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak untuk tidak menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Polis Perak sudah memanggil penganjur perarakan yang tular mengibar bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, malam kelmarin untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, penganjur di arah mengemukakan semua peserta warga China untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam.
Menurutnya, perarakan yang berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam dan turut disertai kira-kira 400 penonton.
Perarakan dan perbuatan itu didapati melanggar syarat Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan sambil bersorak.
Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia sebelum ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China semasa perarakan di Menara Condong Teluk Intan.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252