PETALING JAYA – Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau menerima baik permohonan maaf terbuka Najib Razak berhubung salah laku dalam 1MDB.
“Kita terima, kita terimalah permohonan maafnya,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai permohonan maaf Najib itu dalam satu program di Tebingan Kuching, lapor Berita Harian.
Jawapan beliau itu senada dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut ditanya mengenai permohonan maaf bekas perdana menteri itu.
“Terima baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Presint 16 di Putrajaya semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer hari ini memberi amaran keputusan perdana menteri menerima permohonan maaf Najib itu boleh menyebabkan bantahan daripada rakyat.
“Saya cuma bimbang jika kita menerima permohonan maaf Najib, rakyat tidak akan memaafkan kita,” katanya.
Dalam kenyataan dibacakan anaknya, Nizar pada Khamis, perdana menteri keenam itu mengaku beliau amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasannya.
Najib juga kekal menyatakan beliau tidak bersalah, sebaliknya menyalahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu dibuat enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari lalu bersetuju memendekkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan denda dikurangkan separuh. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252