JOHOR BAHRU: Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kenderaan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu turut dipandu melawan arus sebelum melanggar tiga kenderaan lain, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata terdahulu lelaki yang memandu Honda Accord itu dikesan mencurigakan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) di kawasan pangsapuri berkenaan, sebelum ia dihampiri untuk tujuan pemeriksaan.
Menyedari kehadiran polis, katanya, lelaki itu memecut kenderaan memasuki ruang parkir pangsapuri berkenaan.
“Selepas masuk ke kawasan parkir, suspek menghentikan kenderaan. Polis menghampirinya sekali lagi untuk tujuan periksa dan tahan, namun suspek sekali lagi memecut kereta dan melawan arus sebelum melanggar tiga kereta.
“Polis terpaksa ambil tindakan lepaskan tembakan pada tayar kereta suspek sebelum kenderaan itu tidak boleh bergerak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi Oktober 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, M Kumar berkata selepas suspek berjaya ditahan, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan 296 gram heroin.
“Ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu juga disahkan mempunyai 16 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Dalam kejadian kira-kira lima minit itu, suspek tidak cedera. Namun, tiga kereta dilanggar suspek rosak teruk dan kita minta mereka yang terbabit membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.
Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chai Ing Hien hari ini membenarkan permohonan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252