KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan wanita sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak, yang meninggal dunia pada 5 Julai lalu, sempat memindahkan wang simpanan tetap milik pelanggan yang dipercayai dicurinya berjumlah lebih RM2 juta ke 11 akaun berlainan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang itu dikeluarkan dari tiga akaun simpanan tetap pelanggan melibatkan 108 transaksi sejak 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.
“Wang tersebut dipindahkan ke 11 akaun milik kenalan, saudara, selain syarikat dan didapati telah digunakan mereka.
“Siasatan masih dijalankan termasuk terhadap pemilik akaun terbabit mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini.
Pada 12 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan kehilangan wang yang didalangi kakitangan bank berusia 37 tahun itu terbongkar selepas satu laporan diterima pihaknya pada 9 Julai lalu.
Kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang dari akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu.
Setelah semakan dibuat, didapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap milik mereka telah ditutup.
Berdasarkan siasatan oleh pihak bank, seorang kakitangan mereka disyaki telah membuat pengeluaran wang tersebut yang kemudian didepositkan ke beberapa akaun berbeza.
Bagaimanapun, kakitangan tersebut yang juga suspek utama kes ini telah meninggal dunia pada 5 Julai lalu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252