Siri ke-7: Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II

Siri ke-7: Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II

SULTAN Ahmad telah mangkat pada 1561, sewaktu puteri baginda, Wan Kembang berusia empat tahun. Raja Hussein (1589-1610) dari Johor Riau, sepupu Cik Banun, telah dilantik menjadi Pemangku/Sultan Kelantan yang kelima (pemerintahan kesembilan kerajaan Serendah Sekebun Bunga).

Sewaktu Wan Kembang dilahirkan di Istana Kota Pulau Sabar, keadaan negeri pemerintahan ayahandanya sangatlah makmur. Negeri Seri Indah Sekebun Bunga menjadi pusat perdagangan yang masyhur. Ramai pedagang dari Arab, China, India dan Alam Melayu yang lain datang berdagang di situ.

Dikatakan ada pedagang yang sengaja memusnahkan tongkang dan kapalnya, semata-mata untuk tinggal terus berdagang di negeri itu. Ramai alim ulama yang datang membuka pondok pengajian Islam. Sultan Ahmad terkenal sebagai raja yang adil, mesra dan berpegang teguh pada ajaran Islam. Pemerintahannya juga menggalakkan kebudayaan. Rakyatnya hidup dengan aman damai walaupun terdapat perbezaan agama dan bangsa.

Apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610 (1018H), maka Wan Kembang II telah ditabal menjadi Raja Kelantan pada usia 30 tahun. Baginda menjadi Raja Kelantan keenam bagi Kesultanan Kelantan dan ke-10 dan terakhir dari Dinasti Bharubhasa.

Baginda ialah Raja Perempuan kedua dalam sejarah negeri Kelantan. Namanya itu diwarisi daripada keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I. Ceritera pemerintahan Raja Perempuan di Kelantan berulang kembali.

Menurut catatan “Ringkasan Ceritera Kelantan”, tulisan Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Ismail, Wan Kembang mendapat gelaran “Cik Siti” setelah menjadi Raja Kelantan, yang membawa maksud Ketua Perempuan. Mengikut cerita lisan yang tersebar di Kelantan bahawa:

“Pada satu masa masuklah sebuah bahtera dari Terengganu membawa berbagai-bagai dagangan dan di dalamnya ada seorang Arab… Sambil berjual beli itu orang Arab itu bertanya kepada orang yang datang ke bahteranya. Negeri ini siapa jadi Raja? Jawab mereka, negeri ini diperintah oleh seorang Raja Perempuan. Selepas itu, naiklah ia ke darat bersampan bersama… langsung ia masuk mengadap Cik Wan Kembang dengan membawa sedikit persembahan kain buatan Terengganu. Dalam percakapan, ia berbahasa dengan Cik Wan Kembang “Siti”. Maka kedengaranlah suara kebahasaan itu kepada beberapa orang yang hadir di situ, bertanya apa erti “Siti” itu. Jawabnya ialah gelaran bagi seorang perempuan yang jadi tuan atau ketua orang ramai”.

Nama itu kemudian terpakai oleh seluruh rakyat pemerintahannya dan seluruh pedagang yang singgah di negerinya. Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II telah diberikan pendidikan dalam pelbagai aspek kehidupan serta ilmu agama agar mempunyai iman yang teguh sebagai persediaan menjadi pemerintah.

Kemasyhuran Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II yang cantik rupawan, bijaksana serta mempunyai ciri-ciri pemerintahan yang terpuji, telah tersohor di seluruh pelosok negeri. Sebagai seorang pemerintah, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II bijak mengatur langkah memastikan negeri di bawah penguasaannya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Baginda ialah salah seorang Raja Perempuan yang dikenali di serata rantau Alam Melayu. Kerajaannya yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa (Gunung Dang Besar), sentiasa dipenuhi dengan rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya.

Baginda telah memerintah Kelantan selama 67 tahun. Ini adalah satu tempoh pemerintahan yang lama. Kebijaksanaannya dan keadilannya telah menyebabkan pemerintahannya tidak dicabar. Baginda juga mempunyai satu strategi yang jarang dilakukan oleh pemerintah sebelumnya.

Oleh sebab bimbangkan pemerintahan di Gunung Cinta Wangsa akan diserang, baginda telah membina sebuah kota pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat pemerintahan sahaja. Pada hari yang telah ditetapkan, berangkatlah baginda dengan diiringi oleh panglima, hulubalang dan sekumpulan rakyat meninggalkan Gunung Cinta Wangsa.

Dalam perjalanan itu, sampailah pada satu hutan cerang yang luas dipenuhi pokok kayu tegayong. Di situ, baginda membuka Kota Tegayong. Di kota pentadbiran baru itu, baginda membina sebuah taman bunga sebagai tempat bermain dan bersuka ria yang dinamakan dengan Taman Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong (yang kini terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh).

Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang terlalu indah dengan dikelilingi gunung ganang dan kawasan rendah yang dipenuhi dengan bunga-bungaan daripada pelbagai bentuk dan rupa.

Cherang Tegayong bererti cahaya yang menyimbahi bumi di celahan daun-daun pokok tegayong. Begitulah keindahan yang digambarkan melalui nama lama itu.

Setelah masyhur nama Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II sebagai pemerintah kerajaan baharu itu, maka ramailah rakyat dari sebelah Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri) membawa beraneka persembahan. Antara persembahan itu terdapat seekor anak kijang yang jinak.

Anak kijang itu menjadi penghibur baginda ketika berehat di taman istana. Anak kijang itu amat disayanginya dan menjadi pengiring ke mana sahaja Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II berada.

Gambar kijang itu telah diabadikan pada duit syiling Kelantan sebagai satu pengiktirafan kepada pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II. Ini merupakan duit syiling terawal yang ditemukan dan dipercayai telah dibuat di Lydia, Turki (Turkiye).

Idea mengenai penggunaan duit ini kemudiannya berkembang ke Eropah, kawasan Mediterranean dan Asia. Beberapa jenis duit syiling emas telah dikeluarkan dan kebanyakannya tidak mempunyai tarikh dan sukar untuk dipastikan.

Ada yang mengatakan duit emas ini dikeluarkan antara kurun ke-16 dan ke-18. Duit dengan lambang kijang adalah paling ketara dan banyak digunakan.

Ada yang berpendapat duit yang berlambangkan kijang ini berkait rapat dengan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II yang begitu sayang kepada kijang peliharaannya dan memerintahkan supaya gambar kijang tersebut diukir pada duit syiling emas.

Motif kijang ini yang pernah digunakan di Kelantan pada zaman lampau turut digunakan sebagai logo oleh Bank Negara Malaysia dan tertera pada wang kertas Malaysia sekarang.

Ternyata, imej kijang telah diabadikan sebagai lambang sejarah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II, pemerintah Raja Perempuan Kelantan yang tersohor itu. Penggunaan imej kijang pada duit syiling adalah satu perkara yang amat unik dalam sejarah penggunaan mata wang syiling emas. Adakah itu pengaruh legenda ini?

Pada hari ini, kijang telah digunakan sebagai perlambangan sejarah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II, pemerintah Kelantan pada satu masa dahulu. Lambang-lambang dalam jata kerajaan negeri Kelantan menunjukkan adanya unsur-unsur sejarah, warisan, keagamaan, kedaulatan dan identiti kebangsaan bergabung sama membentuk satu kekuatan bangsa dan negeri.

Lambang dua kijang memegang dua tombak yang menongkat mahkota diraja dan di sebelah kaki hadapannya pula memegang keris, manakala kaki bawahnya pula memegang meriam, menjadi lambang sejarah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang sebagai identiti sejarah Kelantan.

Cogan kata “Berserah Kepada Tuhan” ialah lambang tawakal manusia kepada kebesaran Allah SWT. Lambang bulan bintang yang mencantumkan kijang, keris, tombak dan meriam kecil itu untuk mendokong mahkota diraja ialah tanda Kelantan sebuah negeri Islam yang diperintah oleh seorang raja yang berteraskan hukum hakam Islam yang mendasari sejarah negeri Kelantan sebagai kebanggaan rakyatnya.

Semuanya beradun baik sebagai tanda pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II, lambang kecekalan dan kasih sayang seorang pemerintah Raja Perempuan yang tersohor. – NasionalDaily

BERSAMBUNG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *