KOTA BHARU – UMNO Kelantan tidak ketandusan pemimpin yang layak menjadi calon bertanding kerusi Parlimen Gua Musang sekiranya berlaku kekosongan.
Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman menegaskan, bagaimanapun, pihaknya akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa calon yang layak bertanding.
Katanya, tidak semestinya penyandang, Mohd Azizi Abu Naim mewakili BN kerana setakat ini beliau tidak mempunyai parti selepas keahliannya dari Parti Bersatu digugurkan.
“Kita tidak bercadang untuk bercakap soal ini (calon). UMNO Kelantan buat keputusan serah kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Namun, perlu diingat, keputusan pimpinan parti juga perlu mendapat persetujuan semua pihak terutama Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Siapa nak bertanding sekiranya kerusi Parlimen Gua Musang diisytiharkan kosong bukan isu utama kerana calon ada ramai, yang penting adalah parti,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasrat penyandang Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi yang bersedia mempertahankan kerusi itu atas tiket UMNO sekiranya diberi peluang.
Beliau memberi contoh, jika kerusi Gua Musang diberikan kepada BN, manakala Mohd Azizi pula menyertai parti yang bukan BN, sudah tentu tidak boleh menjadi calon.
Katanya, UMNO Kelantan akur segala keputusan yang dibuat parti, namun perlu mengambil kira pandangan semua pihak.
“Jika Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Tengku Razaleigh setuju, itu adalah sebahagian daripada keputusan kita,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252