Kerusi Kosong, Parti Baharu dan Krisis PKR: Percaturan Politik Rafizi dan Nik Nazmi Jadi Tumpuan

Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR — Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang disertai Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad terus mencetuskan polemik dalam arena politik negara apabila beberapa pemimpin dan penganalisis tampil memberikan pandangan berhubung langkah dramatik kedua-dua bekas pemimpin PK) itu.

Tindakan Rafizi dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum keluar parti dianggap sebagai langkah luar biasa dalam politik Malaysia kerana mereka memilih memulangkan semula mandat kepada rakyat sebelum bergerak di bawah platform baharu.

Penganalisis politik, G. Manimaran berkata, kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa dijangka kekal kosong sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), sekali gus mengelakkan pembaziran dana awam.

Beliau turut berpandangan penggunaan bon RM10 juta berjaya mematahkan naratif “katak politik”, selain memberi kelebihan teknikal kepada pihak terbabit sekiranya berdepan tindakan undang-undang daripada PKR.

Menurut Manimaran, cabaran terbesar Parti Bersama selepas ini adalah membina pengaruh politik di luar sistem Parlimen tanpa kekuatan institusi yang kukuh.

“Kelangsungan politik mereka bergantung kepada sejauh mana Parti Bersama mampu membina keyakinan rakyat serta mengembangkan jaringan akar umbi menjelang PRU16,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Muis berkata, populariti individu semata-mata tidak cukup untuk memastikan survival sesebuah parti baharu dalam landskap politik negara.

Menurut beliau, Parti Bersama perlu membina organisasi yang stabil, memperkukuh jentera akar umbi serta membawa naratif politik yang mampu menarik keyakinan rakyat berdepan gabungan politik sedia ada yang lebih dominan.

“Survival parti baharu tidak bergantung hanya kepada populariti pemimpin, tetapi juga isu semasa, kekuatan organisasi, sumber dan keupayaan membina naratif yang dekat dengan pengundi,” katanya dipetik FMT.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan tindakan Rafizi mengaitkan Anwar Ibrahim dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak berasas dan menunjukkan bekas Menteri Ekonomi itu kini “kehilangan haluan politik”.

Menurut beliau, Rafizi sepatutnya mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang sekiranya benar tidak melakukan sebarang kesalahan, bukannya cuba membina persepsi dirinya dizalimi.

Katanya, cubaan mengaitkan Perdana Menteri dan SPRM hanya dilihat sebagai usaha mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang diperkatakan.

“Kalau rasa tidak bersalah dan bukti itu sampah, buktikanlah di mahkamah. Kenapa perlu heret rakyat dan gambarkan diri paling baik? Di mana zalimnya? Jangan kaitkan PM dan SPRM dalam perkara ini,” katanya dalam petikan Utusan Malaysia.

Abdullah Sani turut mendakwa Rafizi kini semakin terdesak sehingga sanggup mencetuskan pelbagai naratif politik bagi menarik perhatian ketika pimpinan PKR sedang memberi tumpuan kepada konvensyen parti serta agenda rakyat.

Beliau berkata, pemimpin PKR ketika ini lebih memberi fokus kepada usaha mendekati rakyat dan memperkukuh pentadbiran kerajaan berbanding melayan dakwaan yang disifatkannya tidak memberi manfaat kepada parti mahupun negara.

“Menteri lain sibuk bekerja dan santuni rakyat. Perdana Menteri juga jelas bekerja untuk negara. Jadi apa yang dia buat ketika jadi Menteri Ekonomi dahulu? Banyak cakap soal formula ekonomi tetapi rakyat sendiri tidak nampak hasilnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa perkhidmatan kepada penduduk Setiawangsa akan terus berjalan seperti biasa meskipun berlaku kekosongan kerusi Parlimen susulan peletakan jawatan Nik Nazmi.

Beliau berkata, urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat tetap akan diteruskan melalui kerjasama kerajaan serta jentera sedia ada bagi memastikan kepentingan penduduk tidak terabai.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *