Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang disertai Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dilihat semakin mencuri perhatian politik tanah air apabila Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut memberi bayangan bakal menyertai parti baharu itu.
Menerusi satu kenyataan yang tular di media sosial Thread, Wong Chen berkata, beliau berkemungkinan akan bertanding atas tiket Bersama sekiranya membuat keputusan untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jika saya memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, saya akan bertanding sebagai calon Bersama,” katanya.
Kenyataan itu segera mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlaku penghijrahan pemimpin daripada PKR ke parti baharu yang diberi nafas baru oleh Rafizi dan Nik Nazmi.
Sejak diumumkan, Parti Bersama Malaysia mula mendapat perhatian ramai termasuk dalam kalangan pemerhati politik yang melihat gerakan itu sebagai potensi “third force” baharu dalam politik negara.
Pelancaran logo dan identiti parti itu turut menjadi perbualan hangat di media sosial, dengan ramai cuba menafsir mesej di sebalik simbol yang digunakan oleh parti berkenaan.
Dalam masa sama, beberapa pihak berpendapat kemunculan Parti Bersama berpotensi memberi cabaran kepada parti sedia ada khususnya dalam merebut sokongan pengundi muda, profesional bandar dan kelompok atas pagar.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pimpinan PKR berhubung bayangan Wong Chen untuk menyertai parti itu.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L