Rafizi, Nik Nazmi Masih Terikat Bon RM10 Juta Selepas Sertai Parti Baharu – Fuziah

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bekas Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad masih tertakluk kepada bon parti bernilai RM10 juta meskipun kedua-duanya telah mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing sebelum meninggalkan parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti itu mempunyai bukti menunjukkan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan dipercayai telah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) lebih awal sebelum pengosongan kerusi dibuat.

Menurut beliau, maklumat yang dipaparkan di laman sesawang parti berkenaan menunjukkan nama Rafizi dan Nik Nazmi telah disenaraikan sebagai ahli sejak 17 haribulan lalu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakan lompat parti telah berlaku terlebih dahulu.

“Berdasarkan rekod dan ‘timestamp’ di laman web parti tersebut, mereka dipercayai sudah menyertai parti baharu sebelum pengumuman pengosongan kerusi dibuat hari ini.

“Jika itu berlaku, maka mengikut perlembagaan parti dan syarat bon yang dipersetujui, tindakan mereka boleh dianggap sebagai lompat parti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan perkara itu kini dirujuk kepada pasukan peguam PKR bagi mendapatkan pandangan serta tindakan lanjut.

Katanya, isu berkenaan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR esok termasuk kemungkinan mengambil tindakan terhadap kedua-dua bekas pemimpin kanan parti itu.

Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menegaskan bahawa beliau dan Nik Nazmi tidak lagi terikat dengan bon RM10 juta tersebut kerana mereka telah mengosongkan kerusi Parlimen sebelum menyertai mana-mana parti lain.

Menurut Rafizi, syarat bon hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *