KUALA LUMPUR – Walaupun akan ada hujah kononnya cadangan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi atau pindaan Akta SPRM melanggar sistem demokrasi, hak asasi, kebebasan bersuara yang dilindungi perlembagaan, tetapi kalau dilihat Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sebelum ini berjaya dijadikan instrumen untuk menjaga keselamatan negara daripada diganggu gugat segelintir pihak yang terlibat dalam gejala rasuah.
Demikian tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang menyifatkan cadangan itu sekurang-kurangnya dapat menjamin keamanan negara, menjimatkan tempoh siasatan serta duit rakyat.
Ujar beliau, menerusi pindaan Akta SPRM atau penubuhan Akta Sabotaj Ekonomi, sekurang-kurangnya individu disyaki itu ditahan tanpa waran selama 30 hingga 60 hari berbanding sekarang dikenakan reman dan jika habis tempoh akan dibebaskan dengan jaminan polis atau ikan jamin oleh mahkamah.
“Kaedah sekarang, jika habis tempoh reman, mereka dibebaskan dan tidak ada jaminan mereka tidak mengganggu saksi sehingga tiba tarikh perbicaraan, mendapati tidak ada kes.
“Kalau menerusi akta baharu ini, mereka ditahan selama tempoh satu atau dua bulan dan jika mengaku, kerajaan dapat semula wang rasuah berkenaan, selain menjimatkan masa siasatan dan duit rakyat.
“Ini yang dikatakan mengambil semangat ISA. Ia boleh digunakan dalam Akta SPRM yang dipinda atau diwujudkan akta baharu, di mana mereka yang disyaki terlibat dengan rasuah boleh ditahan di bawah salah satu akta ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Dr. Ibrahim, cadangannya itu, menahan individu disyaki tanpa mendapat waran mahkamah adalah melibatkan kes melebihi RM1 juta dan jika tempoh siasatan itu tidak selesai, boleh dipenjara selama dua tahun.
Sebelum itu, katanya, menerusi pindaan atau akta baharu ini juga, perlu dibentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada Peguam Negara, pengerusinya boleh dilantik di kalangan Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, wakil badan peguam, tokoh agama dan akademik.
Kata beliau, jawatankuasa ini berfungsi sepanjang masa dan pihak penyiasat boleh mengemukakan hasrat mereka untuk menahan seseorang tanpa bicara dengan mendapat kelulusan daripada pembentukan jawatankuasa khas berkenaan.
“Apabila individu itu ditahan selama 30 hari atau 60 hari, penyiasatan boleh dilakukan melibatkan agensi penguatkuasaan iaitu SPRM dan Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Bukan macam sekarang, kalau SPRM, polis tidak boleh ganggu. Kalau polis siasat, SPRM tidak boleh ganggu. Dengan cadangan ini, dua-dua pihak ini boleh menjalankan siasatan serentak.
“Saya cakap ini berdasarkan penyiasatan mengikut pengalaman saya yang kena tahanan ISA selama dua tahun. Tahanan ini umpama burung duduk dalam sangkar emas pun, nak keluar,” katanya.
Kata Dr. Ibrahim lagi, matlamat kepada cadangannya itu ialah untuk kerajaan mendapatkan semula wang rasuah, selain menjimatkan wang rakyat dengan siasatan sekarang dan naik turun mahkamah, yang belum tentu individu itu disabitkan kesalahan.
Beliau menambah, kaedah sekarang lebih kepada hendak mengukum, bukan untuk mendapatkan semua duit rasuah itu. Ini lebih kepada menghabiskan masa dan duit rakyat. Ini tidak akan menjadikannya pengajaran.
“Ini yang saya dulu lantang bercakap, (tetapi) saya kecewa dan tidak lagi sealiran dengan semua pihak dan terpaksa saya bergerak seorang diri kerana cadangan saya tidak mendapat perhatian kerajaan.
“Sebagai bekas pemimpin pelajar yang ada idealisme sampai sekarang, saya sedih dan kecewa dengan gejala rasuah yang berlaku. Kerajaan hanya tahu bercakap berdegar-degar, tetapi tidak ada usaha serius menanganinya.
“Ini hipokrit dan retorik namanya,” tegas beliau. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252