BERITA UTAMA

PM Anwar bertemu ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar

KUALA LUMPUR – Dalam kesibukan memenuhi jadual padat sempena lawatan rasmi di Qatar, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh di Doha.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berpeluang menyampaikan ucapan takziah kepada Ismail yang kehilangan ahli keluarga dalam pengeboman kejam rejim zionis.

“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

“Sejak konflik meletus lapan bulan lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal kerana kekejaman rejim zionis,” kata Anwar dalam catatan di akaun media sosialnya pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala Ismail disertai bekas pengerusi Khaled Mashal.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia akan berterusan dalam usaha memberi tekanan agar serangan ke atas Rafah dihentikan.

“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Negara Islam) dan masyarakat antarabangsa.

“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” kata Perdana Menteri lagi. -ASTRO AWANI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *