KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pihaknya sudah menghantar permohonan untuk mendapat maklumat terkini daripada pihak berkuasa Jerman berhubung rampasan empat kereta model Bugatti Veyron, yang didedahkan media negara itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pada 26 Oktober 2022 pihaknya sudah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang digunakan untuk membeli kereta mewah di negara itu.
Berita Harian melaporkan, menerusi perkembangan terbaharu itu juga katanya, SPRM turut menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa Jerman.
Azam juga mengesahkan, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan sejak tahun 2020.
“Ia bermula apabila SPRM mengemukakan Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapatkan maklumat mengenai aset beku berkaitan kes 1MDB pada November 2020.
“Ini diikuti dengan mesyuarat bersama Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terbabit dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021,” katanya.
Akhbar di Berlin melaporkan, polis Jerman merampas empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendirian di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Kenderaan mewah yang dirampas dikelaskan di bawah siri eksklusif ‘Legends’ kereta hiper Bugatti, yang mana hanya 18 kereta dihasilkan di bawah siri itu.
Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta berharga kira-kira AS$3 juta (RM14.3 juta).
“Kereta ini jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut media Jerman, Bild.
Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif.
Skandal 1MDB membabitkan personaliti daripada ahli politik dan bank sehinggalah bintang Hollywood dan telah membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.
Sementara itu, BH dimaklumkan SPRM dan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti maklumat mengenai empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendirian di Munich, Jerman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi BH turut mengesahkan, pihaknya akan sedia membantu dalam urusan berkenaan.
“Apa juga bantuan di kehendak PDRM akan sedia membantu,” katanya.
Pada 2021, SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa setakat ini berjaya memulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.
SPRM memaklumkan, badan itu kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.
Tahun lalu, SPRM berjaya memperoleh semula RM23.9 juta wang hasil daripada proses pemulihan aset 1MDB dari Ogos 2023 sehingga hingga 5 Februari.
Agensi anti rasuah itu dalam kenyataan memaklumkan wang dan aset berkenaan berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela daripada lima individu, termasuk RM4.55 juta daripada Amhari Effendi iaitu bekas pegawai Datuk Seri Najib Razak.
Pada Mac 2023, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kemudiannya mengesahkan kerajaan sudah berjaya mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.
Ia adalah satu kejayaan besar buat negara hasil kerjasama SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Pada Ogos, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, SPRM dijangka melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1MDB susulan penahanan sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low, Jasmine Loo Ai Swan, pada 7 Julai lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252