KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan penjelasan menyeluruh berhubung keputusan untuk tidak lagi menetapkan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan.
Mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai satu penyelarasan pentadbiran kerana ia mempunyai implikasi lebih luas terhadap pemilikan, penyertaan dan kedudukan ekonomi Bumiputera dalam sektor pendidikan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan rasional di sebalik pemansuhan syarat berkenaan, termasuk pihak mencadangkannya, penilaian impak yang telah dibuat serta mekanisme bakal digunakan bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam industri pendidikan terus terjamin.
“Jangan sekadar mengatakan keputusan itu berada di bawah bidang kuasa kementerian tertentu atau bersandarkan keputusan terdahulu. Rakyat berhak mendapat penjelasan lengkap kerana implikasinya melangkaui satu kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, perkara lebih perlu diberi perhatian ialah kemungkinan berlaku pelonggaran satu demi satu instrumen penyertaan Bumiputera tanpa terlebih dahulu disediakan mekanisme alternatif yang mampu mencapai matlamat sama secara lebih berkesan.
Katanya, keterbukaan dan liberalisasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengurangan ruang pemilikan Bumiputera dalam sektor strategik sehingga masyarakat berkenaan akhirnya hanya berperanan sebagai pengguna atau tenaga kerja.
“Saya tidak menolak persaingan. Saya tidak menolak pelaburan. Saya juga tidak mengatakan kuota semata-mata adalah penyelesaian selama-lamanya.
“Tetapi, sekiranya kerajaan mahu menghapuskan sesuatu instrumen yang selama ini bertujuan memastikan penyertaan Bumiputera, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan apakah instrumen lebih baik akan menggantikannya,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Jais berkata, matlamat memperkasakan Bumiputera dalam sektor pendidikan tidak seharusnya terhenti pada soal akses sebagai pelajar, sebaliknya perlu diperluaskan kepada aspek pemilikan dan penguasaan industri.
Menurutnya, Bumiputera perlu diberi ruang untuk tampil sebagai pemilik institusi, pengasas syarikat pendidikan, pelabur, pencipta teknologi pendidikan serta pemain utama dalam industri berkenaan.
Beliau berkata, perjuangan memperluaskan peluang pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera bukan perkara baharu kerana generasi terdahulu telah melalui perjuangan panjang bagi meningkatkan akses pendidikan, mobiliti sosial dan kekuatan ekonomi masyarakat.
“Jangan kerana mahu kelihatan progresif dan terbuka, kita mengambil keputusan yang akhirnya menyebabkan ruang pemilikan Bumiputera semakin mengecil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membentangkan rasional dan data yang menjadi asas kepada keputusan tersebut, selain menjelaskan kesannya terhadap pemilikan Bumiputera serta jaminan penyertaan masyarakat itu dalam industri pendidikan tidak akan terus terhakis.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
