AYER KEROH – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Akta Hasutan 1948 susulan kemelut adat dan institusi diraja Negeri Sembilan.
Rais dikatakan akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Kes berkenaan dipercayai berkait dengan satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka pada 5 Jun lalu.
Dalam majlis itu, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dan Rais dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjuran serta pemasyhuran tersebut.
Perkembangan itu kemudian mencetuskan pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kemelut itu turut membabitkan persoalan berkaitan Adat Perpatih, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta bidang kuasa institusi adat negeri.
Rais sebelum ini mempertahankan pendiriannya berhubung proses pemasyhuran berkenaan dan mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Prosiding mahkamah hari ini berlaku selepas dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang pernah dikurniakan kepada Rais ditarik balik pada Julai lalu atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Rais pernah memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982, kemudian beberapa jawatan dalam Kabinet Persekutuan dengan jawatan terakhir sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dari 2020 hingga 2023.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
