KUALA LUMPUR – Sebanyak 36,500 akaun pengguna di beberapa kawasan di Perak dijangka berdepan gangguan bekalan air selama 24 jam bermula esok berikutan kerja pemasangan peralatan pemantauan aliran air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Paloh.
Gangguan yang bermula jam 9 pagi 23 September hingga jam 9 pagi 24 September itu membabitkan pengguna di Pantai Remis, Beruas, Sitiawan dan Kampung Gajah.
Daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 10,000 akaun pengguna di Pantai Remis dan Beruas dijangka terjejas, diikuti 20,000 akaun di Sitiawan serta 6,500 akaun di Kampung Gajah.
Lembaga Air Perak (LAP) dalam makluman menerusi media sosialnya berkata, kerja berkenaan membabitkan pemasangan satu unit electromagnetic flow meter remote type pada sistem paip air mentah di LRA Kampung Paloh.
Peralatan berkenaan dipasang bagi membolehkan pemantauan terhadap aliran air mentah di loji dilakukan dengan lebih cekap.
Bagaimanapun, kerja tersebut dijangka menyebabkan bekalan air terputus atau mengalami tekanan rendah di kawasan terbabit sepanjang tempoh penyelenggaraan dan pemasangan dijalankan.
LAP menasihatkan pengguna yang terlibat supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya bagi memenuhi keperluan harian sepanjang tempoh gangguan.
Pengguna juga diminta menggunakan bekalan air secara berhemah bagi mengelakkan kehabisan simpanan sebelum bekalan kembali normal.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut LAP, pemulihan bekalan air akan dilakukan secara berperingkat selepas kerja berkenaan selesai.
Tempoh bekalan kembali stabil bagaimanapun bergantung kepada kedudukan kawasan pengguna serta keadaan sistem agihan air di lokasi masing-masing.
Orang ramai yang terjejas disaran mengikuti saluran rasmi LAP dan platform media sosial agensi itu untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung kerja berkenaan serta status pemulihan bekalan air.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
