MELAKA โ Kedudukan Institusi Raja Melayu tidak boleh diperlakukan mengikut kepentingan politik, kerana keabsahan seseorang raja tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendirian terhadap Institusi Raja juga tidak seharusnya berubah hanya kerana sesuatu keputusan yang dibuat tidak memihak atau tidak selari dengan kepentingan politik pihak tertentu.
Kata beliau, pihak yang selama ini lantang mempertahankan Institusi Raja Melayu tidak sepatutnya mempersoalkan kedudukan raja apabila berdepan keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.
“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising, Raja Melayu, Raja Melayu, Raja Melayu, tapi bila keputusan tak selari dengan dia, mahu buang itu Raja Melayu. Saya tidak boleh terima.
“Kita ikut Perlembagaan dan undang-undang. Kalau raja ini kita boleh tukar-tukar ikut bulan, sistem raja akan gagal,” katanya.
Menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan berpegang kepada proses yang ditetapkan Perlembagaan dan undang-undang dalam menentukan kedudukan seseorang yang memegang takhta, termasuk berkaitan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Katanya, sebarang perubahan atau penentuan berkaitan Institusi Raja tidak boleh dibuat berdasarkan tekanan atau kepentingan politik semasa, sebaliknya perlu melalui proses yang sah.
“Kerajaan Persekutuan dengan tegas menyatakan raja yang ada (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan) sah dan ikut prosesnya (untuk tukar) seperti mana termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
๐ 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut beliau, penghormatan terhadap Institusi Raja perlu diterjemahkan melalui pematuhan kepada kerangka perlembagaan, bukannya dengan meletakkan institusi itu sebagai sebahagian daripada percaturan politik.
Menurutnya, kestabilan pentadbiran negeri juga boleh terjejas sekiranya terdapat campur tangan politik dalam urusan Institusi Raja atau cubaan mempengaruhi raja supaya membuat keputusan berdasarkan kehendak pihak tertentu.
“Dia nampak kurang stabil kerana ada orang politik yang mahu jadikan isu. Dia mahu raja ikut dia. Raja mesti ikut Perlembagaan. Raja jangan ikut orang politik, negeri akan rosak,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan pendirian kerajaan bahawa Institusi Raja perlu terus berfungsi dalam lingkungan kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan Perlembagaan, manakala tindakan atau keputusan berkaitan kedudukan raja hendaklah berasaskan proses undang-undang yang sah.
Pada masa sama, peringatan Anwar itu turut menyentuh persoalan lebih luas mengenai hubungan antara Institusi Raja dan politik, khususnya apabila keputusan atau pendirian raja tidak memenuhi kehendak sesetengah kelompok politik.
Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan raja bukan sesuatu yang boleh ditentukan berdasarkan perubahan sokongan atau kepentingan politik semasa, sebaliknya peranan dan kuasa raja tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan serta undang-undang berkaitan.
Justeru, mesej utama Perdana Menteri ialah perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempersoalkan keabsahan Institusi Raja atau cuba mengubah kedudukan raja di luar proses yang ditetapkan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
