Baja 3 sampai ke PPK, namun sebahagian pesawah sudah terlepas masa

ALOR SETAR – Pengagihan baja sebatian tambahan atau Baja 3 ke seluruh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kini selesai, namun kelewatan penghantaran menyebabkan sebahagian pesawah menerima bekalan selepas tanaman mereka melepasi fasa yang memerlukan baja berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata proses pengagihan di peringkat PPK kini giat dilaksanakan kepada unit peladang sebelum diserahkan kepada pesawah di kawasan masing-masing.

Menurutnya, walaupun bekalan sudah sampai ke PPK, proses penghantaran ke rumah pesawah memerlukan masa berikutan kekangan logistik, terutama kapasiti lori, jarak perjalanan dan keadaan laluan kampung.

Katanya, dalam sesetengah kawasan, kenderaan bersaiz lebih kecil terpaksa digunakan untuk membawa baja terus ke lokasi pesawah, sekali gus menyebabkan proses penghantaran mengambil masa lebih panjang.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Dari segi kualiti, pesawah amat berpuas hati dan yakin dengan baja keluaran NAFAS yang tidak berhabuk.

“Jika dibandingkan dengan pembekal terdahulu, kualitinya pada peringkat awal agak teruk. Kini, susulan penamatan kontrak pembekal itu, bekalan diambil alih oleh NAFAS menerusi anak syarikatnya, NMFSB di Gurun, jadi isu kualiti baja sudah tidak menjadi masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rashid mengakui kelewatan bekalan menyebabkan sebahagian besar pesawah tidak lagi dapat menggunakan Baja 3 mengikut jadual tanaman musim semasa.

Malah, katanya, terdapat kawasan sawah yang sudah melepasi tempoh penggunaan baja berkenaan dan sebahagiannya mula memasuki musim menuai.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Namun, tidak dinafikan masih ada pesawah yang sempat dan memerlukan baja ini, terutama mereka yang terlewat memulakan penanaman.

“Kelewatan penanaman ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk masalah kemarau yang menyebabkan mereka bergantung kepada air hujan, selain pesawah yang terpaksa menanam semula benih padi akibat masalah rumpai,” katanya.

Bagi pesawah dari Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, Mohd Noor Hashim, 63, pengagihan baja di kawasannya dilihat semakin lancar sejak proses bekalan diambil alih NAFAS.

“Di kawasan saya tinggal, baki penghantaran kini tidak sampai 22 peratus lagi.

“Sejak NAFAS ambil alih, penghantarannya agak lancar dan kualitinya memuaskan serta tidak banyak habuk, cuma penerimaannya agak lewat sedikit,” katanya.

Pesawah, Sukardi Mat Dali, 60, turut mengakui kelewatan penerimaan bekalan memberi kesan terhadap jadual pembajaan tanaman.

“Saya sudah menerima bekalan baja, tetapi masanya sudah terlambat bagi fasa pertumbuhan padi sekarang,” katanya.

Sementara itu, pesawah dari Batu Pahat, Kangar, Azhari Abu Bakar@Chik, 60, berkata bekalan Baja 3 di kawasannya diterima pada awal bulan ini.

“Kami pesawah di bawah PPK Bintong ada sudah dapat awal pada September, namun ada juga rakan pesawah lain yang menerimanya lewat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima Baja 3, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada pertumbuhan tanaman dan hasil tuaian musim semasa.

Isu berkenaan berlarutan selama beberapa bulan sebelum baki bekalan mula dihantar dalam tempoh 10 hari bermula 3 September lalu.

Kelewatan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu kelewatan bekalan baja berkenaan.

Dengan keseluruhan bekalan kini selesai dihantar ke PPK, perhatian pesawah kini beralih kepada keberkesanan pengagihan di peringkat akhir serta persoalan sama ada bekalan yang diterima lewat masih dapat dimanfaatkan untuk tanaman musim semasa.

Bagi kawasan yang sudah memasuki fasa tuaian, baja berkenaan terpaksa disimpan untuk kegunaan musim penanaman berikutnya, manakala pesawah yang masih berada pada fasa pertumbuhan tanaman boleh menggunakannya mengikut keperluan.

Perkembangan itu menunjukkan penyelesaian isu bekalan bukan hanya bergantung kepada penghantaran baja ke PPK, sebaliknya ketepatan masa sehingga sampai ke tangan pesawah menjadi faktor penting kerana jadual pembajaan berkait rapat dengan peringkat pertumbuhan tanaman padi.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *