KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil maklum perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan yang semakin meruncing susulan keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menarik balik perkenan serta membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan yang dilantik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 atas alasan memungkiri sumpah.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, pihaknya tidak berhasrat mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana perkara itu hendaklah diselesaikan berdasarkan lunas undang-undang, Perlembagaan serta Adat Negeri Sembilan.
Namun katanya, perkembangan politik semasa yang berlaku tidak boleh dipandang ringan.
“AMANAH berpandangan PRN Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut mempunyai kaitan dengan desakan pihak-pihak tertentu untuk mengubah kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Pandangan ini turut mengambil kira proklamasi ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail bin Lasim pada 3 Ogos lalu, sejurus selepas PRN Negeri Sembilan ke-16.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila Menteri Besar dilaporkan menolak titah tersebut secara terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, AMANAH berpendirian tindakan UMNO dalam isu ini menimbulkan persoalan serius mengenai penghormatan terhadap kedudukan institusi diraja Melayu, khususnya institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ujarnya, sebarang usaha untuk menukar atau menurunkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak seharusnya dilihat sebagai urusan politik kepartian semata-mata kerana ia menyentuh kedudukan institusi yang mempunyai asas dalam Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada masa sama, kata Faiz, PRN Negeri Sembilan ke-16 seharusnya tidak dijadikan ruang untuk menggugat kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Keutamaan hendaklah diberikan kepada kestabilan pentadbiran serta penghormatan terhadap kerangka perlembagaan negeri.
“Justeru, AMANAH mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan supaya memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi membolehkan mandat baharu rakyat diperoleh secara demokratik.
“Kita berpandangan pertembungan terbuka antara pihak eksekutif dan istana adalah keadaan yang tidak sihat serta bertentangan dengan semangat dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Kata Faiz lagi, pergolakan politik yang berlarutan tanpa penyelesaian yang tuntas berisiko menjejaskan kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan negeri.
Dalam keadaan ini, menurut beliau, mandat baharu daripada rakyat adalah jalan yang wajar untuk mengembalikan kestabilan politik Negeri Sembilan dan memastikan pentadbiran negeri dapat diteruskan dengan asas legitimasi yang jelas.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
