Dari: Editorial Seni Sastera ND
ADA sesuatu yang agak ganjil dalam cara kita berdepan dengan kontroversi seni. Sebuah video teater yang dipercayai dirakam pada 2018 tiba-tiba muncul semula di media sosial pada 2026.
Beberapa minit daripada sebuah pementasan yang sudah berlalu hampir sedekad kini cukup untuk menyalakan semula pertengkaran lama mengenai kaum, Rukun Negara, Institusi Raja dan batas kebebasan berkarya.
Polis sudah membuka siasatan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sedang mengenal pasti individu serta akaun media sosial berkaitan penyebaran video itu.
Maka, biarlah siasatan berjalan. Tetapi, dalam masa sama, kita juga perlu bertanya: apakah sebenarnya sedang kita pertahankan? Adakah kita sedang mempertahankan Rukun Negara, atau kita sedang mempertahankan cara kita sendiri untuk marah terhadap sebuah karya?
Adakah kita mahu memastikan seni mempunyai batas, atau kita sebenarnya mahu menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dikatakan oleh seorang seniman? Di sinilah persoalannya menjadi lebih besar daripada teater “This Is Malaysia”.
Rakaman yang tular itu memang mengundang persoalan. Lima pelakon dilihat membaca prinsip Rukun Negara, tetapi bacaan itu diselang-selikan dengan respons yang dianggap menyindir dan menyentuh sensitiviti perkauman. Dalam klip sama, terdapat dialog yang menyuruh watak tertentu “balik” ke China, India dan Indonesia.
Tidak hairanlah ada pihak yang berasa tersinggung.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang sendiri minta polis dan SKMM siasat kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.
Namun, tersinggung bukan bererti seseorang itu secara automatik bersalah. Tidak selesa bukan bermakna sesuatu karya secara automatik menjadi jenayah. Itulah beza yang perlu kita pelihara dalam sebuah negara yang mempunyai undang-undang.
Siasatan diperlukan untuk menentukan sama ada sesuatu yang dipentaskan itu benar-benar melanggar undang-undang. Bukan jumlah kecaman di media sosial yang menentukan kesalahan. Bukan juga jumlah laporan polis yang menjadi ukuran kebenaran.
Dan lebih penting, janganlah seluruh dunia seni diseret ke kandang tertuduh hanya kerana sebuah karya mencetuskan kontroversi.
Dalam hal ini, pendirian SENIMAN wajar dibaca dengan tenang. Persatuan ini tidak mempertahankan kandungan pementasan tersebut secara membuta tuli. Sebaliknya, SENIMAN mahu siasatan dilakukan secara menyeluruh dan profesional, sambil mengingatkan kebebasan berkarya datang bersama tanggungjawab.
Itu pendirian yang sepatutnya difahami. Seni memang memerlukan keberanian. Kalau setiap seniman hanya dibenarkan menghasilkan karya yang menyenangkan semua orang, pentas akhirnya tidak lebih daripada ruang untuk mengulang perkara yang sudah kita tahu.
Seni lahir daripada kegelisahan. Daripada persoalan. Daripada kemarahan. Daripada rasa tidak puas hati terhadap masyarakat, kuasa, sejarah dan manusia.
Tetapi seni juga tidak hidup di luar masyarakat. Seniman bukan makhluk yang bebas daripada segala hukum hanya kerana mereka berada di atas pentas.
Kreativiti bukan pasport untuk menghina. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk mengabaikan undang-undang. Namun, pada masa sama, rasa tersinggung juga tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak untuk menentukan nasib sesuatu karya.
Di sinilah kita sering tersilap langkah. Kita terlalu cepat menghukum sebelum memahami konteks. Kita menonton beberapa minit lalu membuat keputusan terhadap keseluruhan karya. Kita membaca kapsyen media sosial lalu menganggap kita sudah memahami niat pencipta.
Lebih membimbangkan, klip lama yang dipotong daripada keseluruhan pementasan boleh menjadi “bukti” paling cepat untuk membentuk kemarahan awam. Sedangkan polis sendiri memaklumkan video itu dipercayai rakaman pementasan 2018 yang dimuat naik semula baru-baru ini.
Hampir lapan tahun berlalu. Apa konteks ketika karya itu dipentaskan? Siapa penontonnya? Di mana ia dipentaskan? Apakah keseluruhan jalan ceritanya? Apa sebenarnya yang hendak dikritik?
Adakah dialog yang dipetik daripada video itu mewakili keseluruhan karya atau hanya sebahagian daripada satira yang lebih besar? Soalan-soalan inilah yang patut dijawab.
Bukan sekadar menjerit. Bukan sekadar mengecam. Bukan sekadar meminta hukuman. Dalam masyarakat matang, karya seni boleh dikritik. Seniman juga boleh dikritik. Malah, karya yang dianggap keterlaluan boleh dipersoalkan secara terbuka.
Tetapi, negara yang matang juga tahu membezakan antara karya yang buruk, karya yang biadab, karya yang kontroversi dan perbuatan yang benar-benar melanggar undang-undang. Keempat-empatnya bukan perkara yang sama.
Jika kita marah kerana orang lain didakwa mempermainkan Rukun Negara, jangan sampai cara kita menghukum mereka sendiri bercanggah dengan semangat kesopanan, kesusilaan, kedaulatan undang-undang dan prinsip hidup bersama.
Begitu juga kepada dunia seni. Jangan berlindung di sebalik perkataan “kreativiti” setiap kali karya dipersoalkan. Kalau karya menyentuh kaum, agama, raja dan simbol negara, seniman perlu lebih sedar tentang kuasa bahasa dan imej yang mereka gunakan.
Kebebasan yang besar menuntut tanggungjawab yang besar. Maka, biarkan “This Is Malaysia” menjadi ujian kecil kepada kematangan kita. Biarkan pihak berkuasa menyiasat. Jika ada kesalahan, buktikan dan ambil tindakan mengikut undang-undang.
Jika tiada kesalahan, jangan pula dipaksa sebuah karya tunduk kepada hukuman media sosial. Dan kepada dunia seni, jangan salah faham kebebasan. Pentas bukan tempat untuk melakukan apa sahaja.
Tetapi, negara juga bukan tempat di mana setiap karya yang membuat kita tersentak mesti segera dibungkam. Barangkali inilah persoalan paling penting yang ditinggalkan oleh kontroversi “This Is Malaysia”: Bukan sama ada kita suka atau benci teater itu.
Tetapi, sama ada kita cukup matang untuk membenarkan seni bercakap, cukup berani untuk mengkritiknya dan cukup waras untuk menyerahkan soal kesalahan kepada fakta serta undang-undang.
Kerana kalau setiap pentas yang membuat kita marah terus kita tutup, lama-kelamaan yang tinggal hanyalah pentas yang tidak berani berkata apa-apa, dan seni yang tidak berani bertanya akhirnya hanya menjadi hiasan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
