Jangan kerana ‘This Is Malaysia’, seluruh dunia seni dipersalahkan – SENIMAN

KUALA LUMPUR – Pentas seni tidak seharusnya ditutup hanya kerana sebuah karya menimbulkan kontroversi.

Di sebalik tirai, lampu dan dialog yang dilafazkan di hadapan penonton, seni sentiasa menjadi ruang untuk manusia bertanya, mengkritik, menyelusuri sejarah dan sesekali menggugat keselesaan.

Namun, kebebasan itu tidak pernah berdiri sendirian.

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menegaskan kebebasan berkarya perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab, penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan Persekutuan serta sensitiviti masyarakat majmuk.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah berkata, kontroversi yang tercetus daripada pementasan teater ‘This Is Malaysia’ tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum atau menyekat keseluruhan industri seni dan persembahan.

“Industri seni dan persembahan memerlukan ruang untuk berkarya, mengkritik serta menyampaikan pandangan.

“Namun, kebebasan berkarya bukanlah kebebasan daripada tanggungjawab dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pementasan ‘This Is Malaysia’ menjadi perhatian selepas rakaman persembahannya tular di media sosial dan didakwa mengandungi unsur mempermainkan Rukun Negara, menyentuh institusi Raja serta perkara sensitif berkaitan identiti dan keharmonian negara.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Bagi SENIMAN, kontroversi itu perlu dilihat melalui lensa siasatan dan fakta, bukan semata-mata melalui emosi yang tercetus daripada potongan rakaman yang beredar di ruang maya.

Hafiz berkata, pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi menentukan perkara sebenar yang berlaku dalam pementasan tersebut.

Menurutnya, siasatan perlu merangkumi identiti pihak yang menganjurkan dan terlibat secara langsung, selain meneliti lokasi, tarikh serta konteks sebenar pementasan.

“Tindakan siasatan juga perlu meneliti tujuan dan latar belakang kandungan berkenaan, pihak yang menerbitkan serta menyebarkan rakaman itu, selain menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang.

“Tindakan pendakwaan perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu sekiranya terdapat bukti mencukupi bahawa kesalahan jenayah telah dilakukan,” katanya.

Dalam dunia seni, kontroversi bukan sesuatu yang asing. Ada karya yang lahir untuk menghiburkan, ada yang mahu mengajak khalayak berfikir dan ada yang sengaja mengetuk pintu persoalan yang selama ini dianggap terlalu sensitif untuk disentuh.

Namun, menurut Hafiz, kebebasan kreatif tidak seharusnya diterjemahkan sebagai lesen untuk mengabaikan batas undang-undang atau tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Kita tidak mahu insiden seperti ini mencetuskan persepsi bahawa dunia seni Malaysia bebas melakukan apa sahaja atas nama kreativiti.

“Pada masa sama, kita juga tidak mahu setiap karya yang kontroversi terus dihukum tanpa proses siasatan dan penilaian berdasarkan fakta,” katanya.

Hafiz berkata karya yang mengangkat persoalan masyarakat, sejarah dan politik memerlukan tingkat tanggungjawab yang lebih tinggi, khususnya apabila ia menyentuh simbol negara, Rukun Negara serta institusi Raja.

Dalam konteks itu, katanya, seni dan undang-undang tidak seharusnya diletakkan sebagai dua kutub yang saling bermusuhan.

Sebaliknya, ruang berkarya perlu terus dipelihara, sementara garis batas yang ditetapkan oleh undang-undang dan sensitiviti masyarakat dihormati.

SENIMAN, katanya, bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pemain industri bagi memastikan kebebasan berkarya terus mempunyai ruang dalam landskap seni negara tanpa mengorbankan maruah negara, keharmonian masyarakat dan prinsip undang-undang.

Di tengah hiruk-pikuk kontroversi, pendirian itu membawa satu pesan yang sederhana: jangan kerana sebuah pentas dipersoalkan, seluruh dunia seni dipadamkan lampunya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *