KUALA LUMPUR – Cadangan penggubalan Akta Tahanan Rumah bukan bertujuan memberi ruang kepada pesalah yang telah disabitkan kesalahan menjalani hukuman di rumah, sebaliknya sebagai mekanisme menangani masalah kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan berkenaan sudah dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2024 sebagai antara langkah menangani peningkatan jumlah tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.
Menurut beliau, cadangan itu bukan perkara baharu dan telah dibincangkan sebagai salah satu ikhtiar untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara negara.
“Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah bukan perkara baharu.
“Sejak 2024, saya telah membawa cadangan ini sebagai antara ikhtiar KDN untuk menangani isu kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Ahad.
Saifuddin berkata, ketika ini 41 penjara di seluruh negara menempatkan kira-kira 93,000 penghuni, sedangkan kapasiti keseluruhan institusi berkenaan hanya sekitar 75,000 orang.
Keadaan itu, katanya, menunjukkan sistem penjara berdepan tekanan kapasiti yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan pengurusan tahanan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, selamat dan terkawal.
Beliau menjelaskan, konsep yang dibincangkan sejak awal adalah membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu menjalani tempoh menunggu perbicaraan di kediaman masing-masing, tertakluk kepada pengawasan dan kawalan yang ditetapkan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Antara mekanisme yang dicadangkan ialah penggunaan peranti pemantauan elektronik bagi memastikan pergerakan tahanan dapat dipantau, selain memerlukan kelulusan mahkamah.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan mekanisme berkenaan bukan untuk semua kategori kesalahan, dengan kes jenayah berat dikenal pasti sebagai antara kategori yang akan dikecualikan.
Beliau berkata Kabinet juga sudah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang berkaitan.
“Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang ini.
“Matlamat asalnya kekal, iaitu mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan,” katanya.
Cadangan itu kini menjadi perhatian susulan perdebatan mengenai pelaksanaan tahanan rumah, termasuk persoalan mengenai skop undang-undang, kategori individu yang layak serta bidang kuasa mahkamah dalam menentukan penempatan seseorang di bawah mekanisme berkenaan.
Dalam konteks yang dijelaskan KDN, asas cadangan tersebut ialah pengurusan tahanan reman yang belum diputuskan bersalah oleh mahkamah, bukannya menggantikan hukuman penjara terhadap individu yang telah disabitkan kesalahan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
