Mercun papan DAP: Pong pang, kemudian asap hilang

Oleh: Editorial ND

“PONG pang! Pong pang!”

Bunyi mercun papan.

Bising. Bingit. Mengejutkan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Orang yang sedang duduk di serambi rumah boleh terkejut. Yang sedang tidur boleh terjaga. Yang sedang berjalan mungkin berhenti seketika untuk melihat dari mana datangnya bunyi.

Selepas beberapa kali bunyi “pong pang! pong pang”, yang tinggal biasanya cuma asap. Asap itu pun tidak lama. Sebentar saja, kemudian hilang ditiup angin.

Begitulah gambaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berikan terhadap perkembangan terbaharu dalam DAP selepas keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS, menyifatkan keputusan DAP itu menampilkan Anthony Loke Siew Fook seorang sahaja yang berundur daripada Kabinet sebagai “politik mercun papan”.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pedas. Tetapi, sindiran itu sebenarnya membuka satu persoalan yang lebih besar daripada sekadar bunyi mercun.

Apa sebenarnya yang DAP mahu tunjukkan? Selepas hampir tiga jam bermesyuarat, DAP akhirnya membuat keputusan, iaitu bukan semua menteri keluar, bukan semua timbalan menteri keluar, bukan DAP keluar daripada kerajaan. Hanya Loke seorang. Itupun menawarkan diri, bukan umum meletakkan jawatan.

Beliau akan serah surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Wakil DAP yang lain pula kekal dalam kerajaan. Alasan diberikan: demi kestabilan politik perlu dipelihara dan kerajaan tidak boleh dibiarkan tergugat.

Di sinilah politik menjadi menarik dan lucu, kerana DAP mahu hantar dua mesej pada masa yang sama. Mesej pertama: kami tidak menerima keputusan berkaitan tahanan rumah Najib. Mesej kedua pula: kami tidak mahu keluar daripada kerajaan.

Satu kaki mahu berada di luar. Satu lagi kaki mahu terus berada di dalam. Maka, lahirlah formula “seorang keluar, yang lain kekal”.

Apakah ini prinsip? Atau strategi? Jawapannya terpulang kepada rakyat. Tetapi, DAP sendiri perlu menerima hakikat apabila sesuatu tindakan dibuat secara separuh jalan, soalan separuh jalan juga akan muncul.

Kalau keputusan itu terlalu sukar diterima sehingga seorang menteri perlu berundur, mengapa menteri lain masih boleh duduk di meja Kabinet yang sama?

Kalau keputusan itu tidak cukup besar untuk sebabkan parti keluar kerajaan, mengapa perlu ada seorang menteri yang meletakkan jawatan? Kalau kestabilan kerajaan paling utama, mengapa tidak semua kekal dan sekadar menyatakan bantahan? Kalau prinsip pula yang paling utama, mengapa tidak semua berundur?

Soalan-soalan ini tidak mestinya bermaksud DAP salah, tetapi itulah harga sebuah keputusan politik. Apabila seseorang memilih jalan tengah, dia perlu bersedia ditanya mengapa tidak memilih jalan kiri atau kanan.

Loke memberikan penjelasan. Katanya, keputusan itu tidak sepatutnya menyebabkan ketidakstabilan politik dan membuka ruang kepada pihak tertentu menggugat kerajaan Anwar.

Beliau juga menegaskan keputusan itu hanya melibatkan kedudukannya sebagai anggota Kabinet, manakala pemimpin DAP lain kekal dalam kerajaan. Itu hujah yang munasabah untuk dipertimbangkan, tetapi politik bukan hanya tentang hujah.

Politik juga tentang persepsi, dan persepsi yang mungkin timbul ialah DAP mahu menunjukkan kemarahan tanpa benar-benar mahu melepaskan kuasa.

Itulah yang Sanusi serang. “Pong pang ping pang, lepas itu senyap.” Bahasa yang mudah. Tidak perlukan memorandum. Tidak perlukan kertas akademik. Tidak perlukan tiga jam mesyuarat.

Mercun papan tetap mercun papan. Bunyinya kuat, tetapi umurnya pendek. Namun, di sinilah DAP mungkin akan menjawab: “Tidak, ini bukan soal bunyi. Ini soal isyarat”.

Loke berundur sebagai tanda DAP mempunyai pendirian terhadap keputusan itu, sementara menteri lain kekal supaya kerajaan tidak tumbang. Jika begitu, DAP sebenarnya sedang cuba mengekalkan dua perkara serentak, iaitu prinsip dan kuasa.

Di sinilah cabaran politik sebenar bermula, kerana dalam politik, prinsip yang tidak menuntut sebarang pengorbanan mudah dipersoalkan. Kalau seseorang benar-benar marah, sejauh mana dia sanggup kehilangan? Kalau seseorang benar-benar tidak bersetuju, apakah yang sanggup dilepaskannya?

Jawapan kepada soalan itu menentukan nilai sebenar sesuatu pendirian. Loke sudah memilih untuk melepaskan jawatan menteri. Tetapi, DAP masih mengekalkan menteri-menterinya yang lain. Justeru, bola sekarang berada di gelanggang DAP.

Parti itu perlu menjelaskan kepada penyokongnya sendiri mengapa seorang perlu keluar, tetapi yang lain perlu terus berada di dalam.

Lebih menarik lagi, keputusan itu dibuat selepas CEC DAP bermesyuarat hampir tiga jam. Sebelum mesyuarat, laporan media menunjukkan terdapat persoalan besar mengenai sama ada wakil DAP akan kekal atau berundur secara lebih menyeluruh.

Tiga jam bermesyuarat, akhirnya seorang sahaja keluar. Lucu dan kelakar.

Kalau ini bukan politik, memang sukar untuk mengatakannya, apa lagi yang boleh dinamakan politik. Loke benar-benar menawarkan peletakan jawatan. DAP benar-benar mengadakan mesyuarat. DAP benar-benar menyatakan pendirian tidak menerima keputusan itu, dan alasan kestabilan kerajaan juga dinyatakan secara terbuka.

Jadi, persoalannya bukan sama ada berlaku tindakan atau tidak. Ianya berlaku. Persoalannya ialah sejauh mana tindakan itu membawa makna politik yang mahu disampaikan.

Di sinilah istilah “mercun papan” menjadi begitu mengena sebagai sindiran. Bunyi itu memang wujud, tetapi selepas bunyi itu, apa yang tinggal? Adakah perubahan? Adakah tekanan? Adakah dasar berubah? Adakah kerajaan berubah?

Atau akhirnya semuanya kembali seperti biasa. Kabinet berjalan, kementerian berjalan, kerajaan terus berjalan dan DAP terus berada di dalamnya? Jika begitu, rakyat mungkin berhak bertanya: Adakah peletakan jawatan itu sebuah protes, atau sekadar simbol? Dan, kalau ia sekadar simbol, kepada siapa simbol itu sebenarnya ditujukan?

Kepada kerajaan? Penyokong DAP? Rakyat? Atau kepada sejarah politik DAP sendiri?

Lebih jauh lagi, isu ini bukan sekadar mengenai Loke. Ia menyentuh persoalan lebih besar mengenai bagaimana sebuah parti yang berada dalam kerajaan menghadapi keputusan tidak selari dengan pendirian politiknya.

Di luar kerajaan, mudah untuk berkata “kami tidak setuju”. Di dalam kerajaan, ayat itu perlu diterjemahkan kepada tindakan. Tetapi, setiap tindakan mempunyai akibat.

Keluar kerajaan bermakna kehilangan kuasa. Kekal dalam kerajaan bermakna perlu menerima hakikat tidak semua keputusan kerajaan boleh mengikut kehendak parti.

Maka, DAP memilih jalan ketiga. Tidak keluar. Tidak diam. Seorang berundur. Yang lain kekal. Cantik dari segi formula, tetapi sukar dari segi persepsi.

Sanusi nampaknya memilih untuk mentertawakan formula itu. “Politik mercun papan.” Barangkali sindiran itu akan dibalas DAP dengan pelbagai hujah.

Tidak mengapa, itulah politik. Tetapi, jangan sampai kita lupa satu perkara, mercun papan hanya mempunyai beberapa saat untuk menarik perhatian. Selepas itu, asapnya hilang.

Politik pula tidak boleh dinilai daripada bunyi pertama. Politik dinilai daripada apa yang tinggal selepas bunyi itu berhenti.

Kalau selepas “pong pang, pong pang” semuanya kembali seperti sediakala, rakyat mungkin mula tertanya-tanya apakah yang sebenarnya meletup. Keputusan kerajaan? Tidak. Kedudukan DAP? Juga tidak. Kestabilan kerajaan? Jauh sekali tidak.

Jadi apa yang meletup? Mungkin sekadar bunyi, dan mungkin itulah maksud sebenar sindiran Sanusi. Dalam politik, bukan semua yang berbunyi itu menggoncang.

Ada yang hanya membuat orang menoleh. kemudian asapnya hilang dan pentas kembali sunyi. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *