KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling akan dituduh di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.
Pada 27 Ogos lalu, beliau dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari hingga 2 September lalu bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Kedua-dua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan berkenaan turut mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu. – BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
