Merdekalah Kita: Daripada Menjenayahkan Perang Kepada Memerdekakan Manusia

Oleh Dr Siti Suriani Othman

PADA 2020, saya menulis buku Mari Jenayahkan Perang! Kemudian, pada 30 Ogos tahun yang sama, menjelang sambutan Hari Kebangsaan, saya menulis di sebuah akhbar arus perdana tempatan rencana bertajuk Merdekakah kita selagi perang tak dijenayahkan?

Hari ini, saya menulis buat kali ketiga tentang gagasan yang sama. Bukan kerana persoalan itu sudah selesai. Sebaliknya, Gaza membuatkan persoalan itu semakin mendesak.

Perang yang berlarutan menjadikan penderitaan manusia seolah-olah perkara biasa. Kita melihat kanak-kanak kelaparan, keluarga kehilangan rumah dan manusia berebut mendapatkan makanan serta air. Kemudian kita menatal skrin dan meneruskan kehidupan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) pertengahan 2026 menyebut sekitar 1.9 juta daripada 2.1 juta penduduk Gaza masih kehilangan tempat tinggal. Hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi pula rosak atau musnah.

Bayangkan hidup tanpa rumah, kemudian perlu memikirkan dari mana datangnya air untuk minum. Lebih menggerunkan, penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar kehilangan rumah dan makanan.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mendokumentasikan dakwaan serius mengenai keganasan seksual terhadap tahanan Palestin, termasuk rogol dan bentuk keganasan seksual lain serta layanan yang merendahkan maruah.

Apabila tubuh dan maruah manusia turut dijadikan medan penderaan, kita tidak lagi sekadar bercakap tentang perang. Kita sedang bercakap tentang kehancuran kemanusiaan. Sebab itu penulis masih percaya perang perlu dijenayahkan. Bukan kerana memilih satu pihak, tetapi kerana memilih manusia.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pembunuhan orang awam tetap salah. Penyeksaan tetap salah. Keganasan seksual tetap salah. Kanak-kanak tetap tidak boleh dijadikan sasaran. Kekejaman tidak menjadi benar hanya kerana kita bersimpati kepada pihak yang melakukannya. Dan, daripada sini saya kembali kepada perkataan yang paling banyak disebut setiap Ogos: Merdeka.

Kita merdeka sebagai sebuah negara. Tetapi apakah kita sudah merdeka sebagai manusia? Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan. Merdeka juga bermaksud bebas berfikir, bebas bertanya dan bebas mencari kebenaran.

Bebas daripada propaganda. Bebas daripada kebencian. Bebas daripada ketaksuban. Dan, bebas daripada rasa takut untuk mengakui bahawa orang yang kita kagumi juga boleh melakukan kesalahan.

Prinsip ini juga terpakai dalam dunia akademia. Dua perkembangan yang menjadi perhatian tahun ini ialah kes Prof Jason Arday dan Prof Solehah Yaacob.

Prof Jason Arday pernah menjadi simbol kejayaan akademik yang luar biasa apabila dilantik sebagai profesor di Cambridge pada usia 37 tahun. Kemudiannya timbul persoalan serius berkaitan karya akademik, kelayakan dan latar belakang profesionalnya yang membawa kepada proses penelitian dan pengunduran dirinya. Beliau meninggal dunia pada Ogos 2026 dan siasatan terhadap keadaan kematiannya masih berjalan.

Saya tidak mahu membuat andaian tentang apa yang berlaku kepada beliau. Kita tidak tahu keseluruhan pergulatan atau perjuangan yang dilaluinya sebagai seorang manusia, dan punca kematian bukan sesuatu yang wajar kita simpulkan sebelum proses rasmi selesai.

Tetapi, satu perkara tidak berubah: Yang benar tetap benar. Dalam dunia akademia, kebenaran tidak boleh disembunyikan hanya kerana ia menyakitkan. Persoalan terhadap sesuatu karya atau pencapaian perlu diteliti melalui proses yang adil dan berasaskan bukti.

Dalam masa yang sama, kita perlu memisahkan dua perkara: keperluan mencari kebenaran dan keperluan menjaga kemanusiaan. Kebenaran perlu ditegakkan, tetapi manusia tetap perlu dimanusiakan.

Begitu juga dengan Prof Solehah Yaacob yang menjadi perhatian susulan beberapa pandangan akademiknya mengenai sejarah dan tamadun. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan bahawa perkhidmatannya berakhir pada 27 April 2026 dan beliau tidak lagi mempunyai afiliasi rasmi dengan universiti tersebut.

Saya tidak menulis untuk menyokong atau menghukum sesiapa. Pendirian saya sama: kerja akademik mesti mempunyai integriti. Jika sesuatu hujah benar, ia perlu berdiri atas bukti. Jika dipersoalkan, ia perlu berani berdepan dengan penelitian. Jika berlaku kesilapan, pembetulan bukan kehinaan.

Bukankah itu juga merdeka? Merdeka daripada ego. Merdeka daripada propaganda. Merdeka daripada keperluan untuk sentiasa kelihatan betul. Dan, merdeka untuk mengatakan yang benar tetap benar, walaupun ia tidak memihak kepada kita.

Jadi, menjelang 31 Ogos ini, saya tidak mahu sekadar mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan.

Saya mahu mengajak kita semua akademia dan masyarakat awam untuk benar-benar rasa merdeka dan merdeka. Merdeka daripada perang. Merdeka daripada kebencian. Merdeka daripada kepalsuan. Merdeka daripada ketaksuban. Dan, merdeka daripada sikap tidak peduli terhadap penderitaan manusia lain.

Pada 2020, saya bertanya: Merdekakah kita selagi perang tak dijenayahkan? Hari ini, selepas Gaza, selepas melihat bagaimana kebenaran boleh diputar dan manusia boleh dinyahmanusiakan, saya mahu bertanya sekali lagi: Merdekakah kita jika tubuh kita bebas tetapi fikiran kita masih dijajah kebencian?

Mungkin kemerdekaan yang paling sukar bukan membebaskan tanah daripada penjajahan. Tetapi, membebaskan hati dan fikiran manusia daripada perkara yang membuat kita sanggup menafikan kemanusiaan orang lain.

Merdekalah kita. Untuk mencari kebenaran. Untuk menolak perang. Untuk mempertahankan integriti. Dan akhirnya, untuk kembali menjadi manusia.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Presiden dan Pengasas USIM Writers’ Pool, dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *