
ADA kisah yang selesai apabila buku ditutup. Ada pula kisah yang terus hidup, berpindah daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain, daripada halaman buku ke layar perak, televisyen dan lagu. Laila Majnun ialah antara kisah yang memperlihatkan perjalanan tersebut dengan begitu jelas.
Bagi masyarakat Melayu, nama Laila dan Majnun bukanlah sesuatu yang asing. Kisah percintaan Qays dan Laila yang terhalang oleh keluarga dan masyarakat telah berulang kali diceritakan dan diberikan tafsiran baharu dalam pelbagai bentuk kesenian.
Berakar daripada tradisi kesusasteraan Arab, kisah ini kemudiannya berkembang dalam tradisi Parsi, Turki, Asia Selatan dan pelbagai kebudayaan lain.
Qays, yang terlalu mencintai Laila, tenggelam dalam kerinduan setelah cintanya tidak kesampaian sehingga digelar Majnun, yang bermaksud “orang gila”.
Namun, di sebalik kisah cinta yang tragis itu terkandung persoalan yang lebih besar tentang kesetiaan, pengorbanan, batas sosial, maruah dan pencarian makna cinta.
Dalam konteks Alam Melayu, penerimaan terhadap Laila Majnun memperlihatkan keterbukaan masyarakat Melayu terhadap naratif daripada kebudayaan lain.
Lebih menarik, kisah ini tidak kekal sebagai cerita asing. Ia diserap, diolah dan diberikan bentuk baharu sehingga menjadi sebahagian daripada budaya popular Melayu.
Hal ini dapat dilihat melalui sejarah perfileman. Pada dekad 1930-an, ketika industri perfileman Melayu masih berada pada peringkat awal, kisah Laila Majnun diangkat ke layar perak melalui filem arahan B.S. Rajhans pada 1933 yang lazimnya dianggap sebagai antara tonggak awal perfileman Melayu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pemilihan kisah daripada tradisi kesusasteraan Arab pada zaman awal perfileman Melayu cukup menarik untuk direnungkan.
Ia menunjukkan bahawa imaginasi masyarakat Melayu tidak terbatas kepada cerita tempatan, sebaliknya mampu menerima dan menghidupkan naratif daripada kebudayaan lain yang mempunyai nilai kemanusiaan sejagat.
Beberapa dekad kemudian, kisah yang sama muncul lagi melalui filem Laila Majnun pada 1962, dibintangi Nordin Ahmad dan Latifah Omar.
Naratif cinta yang terhalang dan penderitaan Majnun terus menemukan tempat dalam imaginasi penonton Melayu.
Perjalanan tersebut tidak berhenti di layar perak. Kisah Laila Majnun turut diberikan nafas baharu melalui drama televisyen dan kemudiannya merentas sempadan Nusantara melalui filem Indonesia Layla Majnun arahan Monty Tiwa yang dibintangi Acha Septriasa dan Reza Rahadian pada 2021.
Filem tersebut tidak mengulang cerita klasik secara bulat-bulat, sebaliknya menggunakan legenda Laila Majnun sebagai sumber inspirasi untuk membicarakan cinta, perjodohan, tradisi dan pilihan hidup dalam konteks masyarakat moden.
Di sinilah kekuatan karya klasik dapat dilihat. Karya yang baik tidak semestinya perlu diceritakan semula dengan cara yang sama. Sebaliknya, ia terus hidup apabila generasi baharu menemukan persoalan mereka sendiri di dalamnya.
Pengaruh Laila Majnun dalam budaya Melayu juga tidak berhenti pada sastera dan filem. Nama dan simbol Laila serta Majnun turut muncul dalam dunia muzik.
Antaranya, termasuk “Laila Namamu Teratas” oleh Search, “Syair Laila Majnun” oleh Ramli Sarip, “Kasihnya Laila” oleh Jinbara, “Lagu Untuk Laila” oleh Akim & The Majistret dan “Majnun” oleh Hazama.
Karya-karya ini memperlihatkan bagaimana nama Laila dan Majnun telah menjadi simbol yang mudah difahami untuk menggambarkan kerinduan, cinta, kesetiaan dan penderitaan.
Dalam karya tertentu pula, kisah Laila Majnun boleh dibaca dengan nuansa kerohanian. Cinta manusiawi terhadap Laila dan Majnun dapat menjadi perlambangan kerinduan manusia terhadap sesuatu yang lebih tinggi.
Cinta tidak lagi sekadar hubungan antara lelaki dan perempuan, tetapi turut menjadi ruang untuk membicarakan jiwa dan pencarian makna.
Mengapa kisah yang berasal daripada dunia Arab dan telah berusia ratusan tahun masih mampu menarik perhatian masyarakat Melayu dan Nusantara?
Jawapannya mungkin terletak pada sifat manusia itu sendiri. Cinta yang terhalang, kerinduan, kehilangan, pengorbanan dan kesetiaan bukanlah pengalaman milik satu bangsa.
Sebab itu, pembaca Melayu dapat menemukan sesuatu yang dekat dengan pengalaman kehidupan mereka sendiri dalam kisah tersebut.
Namun, Laila Majnun tidak seharusnya dilihat hanya sebagai “kisah cinta Arab”. Apabila dibaca dengan lebih mendalam, kisah ini turut menyentuh persoalan kuasa keluarga, norma masyarakat, kebebasan memilih, maruah dan pencarian makna cinta.
Di sinilah kesusasteraan menjadi penting. Karya yang besar mampu bergerak melampaui zaman dan sempadan budaya kerana manusia pada setiap zaman terus mengajukan persoalan yang hampir sama, walaupun dalam keadaan yang berbeza.
Perjalanan Laila Majnun juga mengajak kita memikirkan semula hubungan antara kesusasteraan Arab dengan kesusasteraan Melayu.
Sebuah cerita boleh bergerak daripada puisi kepada prosa, daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain, daripada teks kepada filem dan akhirnya kepada lagu.
Setiap kali berpindah, ia mungkin berubah, tetapi perubahan itulah yang membolehkannya terus hidup.
Persoalannya, apakah karya sastera Melayu yang mampu melakukan perjalanan yang sama?
Kita mempunyai hikayat, syair, pantun, gurindam dan novel yang kaya dengan nilai kemanusiaan.
Namun, berapa banyak yang benar-benar dihidupkan semula melalui filem, drama, muzik, animasi atau medium digital sehingga dikenali oleh generasi baharu?
Laila Majnun mengajar kita bahawa kelangsungan sesebuah karya bukan hanya bergantung pada usia.
Yang lebih penting ialah keupayaan masyarakat untuk terus membacanya, menafsirkannya dan menciptakan semula maknanya.
Karya sastera yang benar-benar besar bukan sekadar tinggal di rak buku. Ia bergerak bersama manusia, iaitu daripada halaman ke layar, daripada layar ke lagu, dan akhirnya menjadi sebahagian daripada ingatan sebuah bangsa.
Muhammad Akmal Zolmaily ialah ahli USIM Writers Pool (UWP) dan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
