Oleh: Editorial ND
POLITIK Malaysia ini kadang-kadang macam kita tinggal di rumah sewa beramai-ramai.
Masa mula masuk, semua janji dan kata nak hidup bersama, kongsi bil sama-sama, jaga kebersihan dan tidak akan bergaduh bersama-sama.
Tetapi, selepas beberapa tahun, bil mula tertunggak, dapur mula bersepah dan masing-masing mula bertanya: Kenapa aku yang kena bayar?
Begitulah agaknya wajah Kerajaan Perpaduan hari ini. Di atas kertas, semuanya nampak cantik. PH ada. BN ada. GPS ada. GRS ada. Yang lain pun ada. Jumlahnya, 150 kerusi.
Nampak gagah. Nampak kebal. Nampak macam rumah batu dua tingkat. Tetapi, politik bukan soal rupa rumah. Politik soal berapa banyak tiang yang masih sanggup menanggung bumbung apabila ribut datang. Dan, sekarang angin sudah mula bertiup. BN mula berdiri dekat pintu.
Kalau benar BN akhirnya membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan, jangan terus anggap UMNO sudah berpindah rumah kepada PN. Belum tentu.
Mungkin BN hanya mahu membuka pintu dan berdiri di halaman. Tidak masuk rumah Anwar. Tidak pula masuk rumah PN.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bahasa mudahnya: “Kami bukan kerajaan. Kami juga bukan PN.” Cantik. Duduk di tengah. Tak perlu memasak untuk kerajaan. Tak perlu basuh pinggan pembangkang. Tetapi, kalau dua-dua berebut kerusi, BN boleh memilih siapa yang hendak disokong.
Dengan 30 Ahli Parlimen, BN bukan lagi penumpang bas. BN boleh menjadi orang yang memegang stereng. Dalam politik, orang yang memegang stereng tidak semestinya duduk di tempat duduk pemandu. Kadang-kadang dia cuma perlu duduk di belakang dan berkata: “Belok kiri.” Atau “Belok kanan”. Atau “Jalan terus”.
Bolehkah jumlah 150 yang ada sekarang boleh berkurangan kepada 120? Kiraan mudah, kerajaan sekarang ada sekitar 150 kerusi. Tolak 30 BN, tinggal kira-kira 120 kerusi.
Nampak masih banyakkan. Memang. Majoriti mudah adalah 112. Kerajaan Perpaduan masih ada lapan kerusi lebihan. Namun, beza lapan kerusi ini bukan lagi tilam empuk. Ia sudah macam duduk atas kerusi plastik yang kaki sebelahnya retak. Silap bergerak sikit, patah. Terbalik.
Kita buat pula andaian, kalau lima lagi Ahli Parlimen (tiga dari PKR sudah kosongkan kerusi dan mungkin dua lagi akan menyusul) mula menjauh, sifirnya 120 – 5 = 115.
Alamak, tinggal tiga saja lagi untuk cecah kepada 112.
Namun, kalau sembilan (Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak) keluar. Tinggallah 111 kerusi, bawah angka 112. Maka, loceng pun mula bunyi. Menandakan Kerajaan Perpaduan sudah jatuh.
Tetapi, apabila seorang Perdana Menteri terpaksa mengira siapa datang Dewan sebelum tidur, itu bukan lagi kerajaan yang boleh mendabik dada. Itu kerajaan yang mula mengira kepala.
Inilah perkara yang mungkin paling sukar diterima oleh politikus. Menang undi di Parlimen tidak sama dengan menang hati rakyat. Anwar masih ada angka. Masih ada sokongan. Masih ada kerajaan. Tetapi, politik tidak berhenti di Putrajaya.
Rakyat di kedai kopi tidak bercakap tentang spreadsheet majoriti. Mereka bercakap tentang harga barang. Tentang janji, gaji, peluang kerja, cukai dan paling penting, tentang satu perkara yang sangat mudah, tetapi sangat mahal, iaitu betulkah apa yang mereka (Kerajaan Perpaduan) cakap?
Di sinilah PH mempunyai masalah. PH bercakap reformasi, tetapi rakyat semakin letih mendengar. PH dahulu (ketika pembangkang) datang dengan bahasa perubahan. Reformasi. Institusi. Tadbir urus. Keadilan. Lawan rasuah. Semua bunyinya sedap.
Macam lagu yang kita dengar ketika kempen pilihan raya. Tetapi, selepas beberapa tahun, rakyat bukan lagi mahu dengar lagu. Rakyat mahu lihat hasil. Sebab rakyat ini bukan bodoh.
Mereka boleh lupa satu manifesto. Tetapi, mereka sukar lupa apabila seorang pemimpin berkata sesuatu hari ini, kemudian melakukan perkara yang kelihatan bertentangan esok.
Masalah PH hari ini bukan semata-mata apa yang dibuat. Masalahnya ialah persepsi kata-kata dan perbuatan yang kadang-kadang berjalan di lorong berbeza.
Bila ini berlaku, rakyat mula menjadi sinis. Apabila rakyat sudah sinis, ceramah sehebat mana pun kadang-kadang hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Anwar mempunyai satu kelebihan besar. Beliau masih Perdana Menteri, tetapi kelebihan itu datang bersama satu beban. Semua yang berlaku dalam kerajaan akhirnya sampai ke meja beliau. Yang baik, orang kata kerajaan. Yang buruk, orang kata Anwar.
Maka, jangan hairan kalau setiap pergaduhan kecil dalam rumah kerajaan akhirnya menjadi masalah tuan rumah, dan sekarang tuan rumah itu perlu menjaga terlalu banyak penyewa. PH mahu. BN mahu. GPS mahu. GRS mahu. Semua ada kepentingan. Semua ada negeri. Semua ada akar umbi. Semua ada pilihan raya yang hendak dimenangi.
Masalahnya, Perdana Menteri boleh mengetuai kerajaan, tetapi beliau tidak boleh memiliki semua parti yang menyokong kerajaan, sebab parti-parti itu ada kepala masing-masing, dan kepala yang terlalu banyak dalam satu perahu kadang-kadang membuatkan pendayung berebut menentukan arah.
Kemudian muncul pula cerita RCI Tabung Haji. Penahanan dan reman bekas Pengerusi Tabung Haji serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan menambahkan lagi tekanan kepada UMNO-BN.
Sekali lagi, kita perlu adil. Reman bukan hukuman. Siasatan bukan sabitan. Dituduh bukan bermakna bersalah. Itu prinsip yang tidak boleh dipijak hanya kerana politik sedang panas.
Tetapi, jangan pula terlalu naif. Politik bukan mahkamah. Politik ialah persepsi, yang kadang-kadang berlari lebih laju daripada fail siasatan.
Bagi akar umbi UMNO, apabila tokoh-tokoh yang mempunyai kaitan dengan pentadbiran terdahulu berdepan siasatan, rasa tidak selesa boleh muncul, dan kalau rasa tidak selesa itu bercampur dengan rasa UMNO semakin hilang identiti dalam Kerajaan Perpaduan, ia boleh menjadi masalah lebih besar.
UMNO tidak boleh terlalu lama kelihatan seperti parti yang menumpang rumah orang. Parti itu perlu tahu bila nak duduk di meja makan dan bila nak bawa pinggan sendiri.
Ada beberapa persoalan berlegar. Apa sebenarnya UMNO dapat daripada Kerajaan Perpaduan?
Jawatan? Ada.
Pengaruh? Ada.
Kestabilan? Ada.
Tetapi, bagaimana dengan undi? Dengan akar umbi? Dengan identiti UMNO? Dan, dengan PRU akan datang? Inilah soalan yang semakin sukar dielakkan. Sebab kalau UMNO terus bersama PH, penyokong PH mungkin tidak akan tiba-tiba menjadi penyokong UMNO.
Tetapi penyokong UMNO sendiri boleh bertanya: “Kita ini masih UMNO atau sudah jadi PH versi Melayu?” Itu soalan yang pedih. Tetapi, politik yang matang kadang-kadang perlu menelan soalan yang pedih.
Oleh itu, Melaka mungkin tempat BN menguji tali. Sebab itu PRN Melaka sangat penting. PH mungkin mahu kerjasama. BN mungkin berkata terbuka. Tetapi terbuka tidak bermakna setuju. Pintu dibuka tidak semestinya tetamu dipelawa masuk.
BN tahu rekodnya di Melaka. Dalam PRN 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi. Kalau PH datang dengan senarai kerusi, jangan terkejut kalau BN keluarkan kalkulator.
Politik tidak mengenal kawan lama apabila sampai bab pembahagian kerusi. Di situlah ukhuwah politik biasanya diuji.
Masa berucap: “Oh, kita keluarga.”
Masa bahagi kerusi: “Keluarga? Keluarga belah mana?”
Itulah realiti.
Kalau akhirnya PH, BN dan PN bertembung tiga penjuru, Melaka mungkin menjadi makmal politik yang sangat menarik. PH boleh hilang undi kepada BN. BN boleh hilang undi kepada PN. PN boleh hilang undi kepada PH.
Akhirnya, seseorang boleh menang bukan kerana mendapat sokongan luar biasa. Tetapi, kerana lawannya lebih pandai membahagi undi sesama sendiri.
Dalam politik tiga penjuru, jangan terlalu cepat bertanya siapa paling popular?
Tanyalah: Siapa paling kurang kehilangan undi?
Itulah permainan sebenarnya. Dan, kalau BN duduk di tengah? Itulah senario yang paling menghiburkan. BN keluar kerajaan, tetapi tidak masuk PN. PH nak undi BN. PN pun nak undi BN. Maka, tiba-tiba GPS dan GRS pula makin mahal harganya.
Tiba-tiba pula 30 kerusi BN menjadi seperti duit kecil terakhir dalam poket. Semua orang perlukan, walaupun nilainya 5 sen.
Kalau kerajaan mahu luluskan sesuatu, kena pandai pujuk. Kalau pembangkang mahu jatuhkan kerajaan, kena pandai pujuk.
BN pula boleh duduk sambil berkata, “Apa yang kamu tawarkan?”
Dulu BN mungkin perlu meminta. Kini orang lain pula yang perlu meminta. Itulah kuasa. Tetapi, BN juga jangan terlalu yakin. Kerana menjadi kingmaker bukan bermakna menjadi raja.
Kadang-kadang orang yang duduk di tengah-tengah akhirnya dimarahi kedua-dua belah pihak. PH boleh kata BN tidak setia. PN boleh kata BN masih bermain dua kaki. Penyokong sendiri pula boleh kata, sebenarnya kamu mahu apa?
Itulah risiko politik tengah. Kalau terlalu lama bermain di pagar, akhirnya rakyat boleh bertanya, bila mahu turun?
Di sini, kita lihat yang paling bahaya untuk Anwar bukan BN saja yang keluar. Yang paling bahaya ialah kalau BN keluar dan kemudian beberapa orang lain mula berfikir: “Kalau mereka boleh keluar, kenapa kita tidak?”
Inilah kesan domino. Satu batu jatuh, kemudian batu kedua jatuh. Kemudian ketiga dan akhirnya kerajaan runtuh kerana sudah hilang keyakinan yang lain-lain.
Dalam politik, hilang keyakinan kadang-kadang lebih bahaya daripada hilang kerusi.
Jadi, siapa yang sedang bermain catur? PH mahu kekalkan kerajaan. BN mahu kekalkan masa depan. PN mahu rampas kerajaan. GPS dan GRS mahu kekalkan pengaruh. Rakyat pula?
Rakyat mungkin cuma mahu semua pemain berhenti bercakap tentang papan catur dan mula bercakap tentang harga barang. Itulah ironinya.
Politikus sibuk mengira 150, 120, 112 dan 111. Rakyat mengira harga nasi.
Politikus mengira kerusi. Rakyat mengira duit dalam dompet.
Politikus bercakap tentang kestabilan. Rakyat bertanya: “Kestabilan untuk siapa?”
BN mungkin tidak perlu keluar hari ini. PH mungkin tidak perlu panik hari ini. PN mungkin belum boleh membuka botol. Anwar pula masih Perdana Menteri.
Tetapi, politik sudah mula menunjukkan satu perkara: Kerajaan Perpaduan tidak lagi boleh bergantung hanya kepada angka. 150 kerusi memang nampak kuat. 120 masih boleh memerintah. Namun, 111 pula sudah menjadi tanda bahaya.
Tetapi, di luar Dewan Rakyat ada 30 juta lebih alasan mengapa semua parti perlu berhati-hati. Sebab rakyatlah yang akan menentukan siapa masih mendapat kerusi selepas pilihan raya. Di sinilah, PH perlu paling takut, kerana kerusi Parlimen boleh dikira. Mood rakyat tidak boleh dihitung dengan kalkulator.
BN pula perlu membuat keputusan. Mahu terus duduk di meja kerajaan? Atau mahu tarik kerusi dan duduk sendiri? Jika tarik kerusi, jangan salahkan sesiapa kalau meja tiba-tiba senget.
Kerana kira-kira politiknya mudah: 150 – 30 = 120. Tetapi, politik sebenar tidak pernah sesederhana matematik. Kadang-kadang 120 boleh bertahan. Kadang-kadang 120 boleh pecah, dan kadang-kadang kerajaan tidak jatuh kerana angka 111.
Ia jatuh lebih awal, ketika orang di dalam rumah sudah tidak percaya bumbung itu akan terus bertahan. Maka, buat masa ini, Anwar masih duduk di kerusi Perdana Menteri. BN masih duduk di meja kerajaan. PH masih memegang kunci rumah. PN masih menunggu di luar. Dan, rakyat?
Rakyat sedang melihat. Siapa yang akan bangun dulu. Kerana dalam politik Malaysia, orang yang bangun dari meja bukan semestinya orang yang kalah.
Kadang-kadang dia bangun kerana sudah nampak meja itu tidak lagi cukup besar untuk semua orang. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
