KUALA LUMPUR – SSF Home Group Bhd. (SSF) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM550,000 atas hasil RM36.08 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berakhir 30 September 2026, ketika kumpulan meneruskan pengembangan rangkaian runcit dan memperkukuh kecekapan operasinya.
Peruncit perabot dan kelengkapan kediaman itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM750,000 serta keuntungan kasar RM19.59 juta, dengan margin keuntungan kasar sebanyak 54.3 peratus.
Pendapatan asas sesaham bagi suku berkenaan pula berjumlah 0.07 sen.
SSF dalam kenyataan hari ini berkata, tiada angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya berikutan perubahan tarikh akhir tahun kewangan kumpulan daripada 30 April kepada 30 Jun.
Berbanding suku sebelumnya, hasil kumpulan berjumlah RM25.65 juta, manakala keuntungan sebelum cukai susut daripada RM1.96 juta kepada RM750,000.
Bagaimanapun, kedua-dua tempoh kewangan itu tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana suku terkini merangkumi tiga bulan, manakala suku sebelumnya hanya membabitkan dua bulan.
Menurut SSF, keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi pada suku sebelumnya turut dipengaruhi margin keuntungan kasar lebih tinggi susulan pembalikan rosot nilai inventori.
Dari segi kedudukan kewangan, kumpulan mempunyai gabungan tunai, deposit jangka pendek dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM74.2 juta setakat 30 September 2026, tanpa sebarang pinjaman bank tertunggak.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kumpulan turut menjana aliran tunai operasi bersih positif sebanyak RM4.19 juta sepanjang suku berkenaan, selain membayar dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham, berjumlah RM4 juta, pada 30 September lalu.
Pengarah Eksekutif SSF, Lok Kok Khong berkata, kumpulan akan terus memperluas rangkaian runcitnya sambil meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi cawangan sedia ada bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Beliau berkata, cadangan pemerolehan tanah perindustrian di Pulau Indah, Selangor, bernilai RM42.47 juta turut menjadi sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuh infrastruktur operasinya.
“Dengan membangunkan kemudahan gudang dan pengedaran sendiri, kami berhasrat untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehskalaan, mengukuhkan asas aset kami dan mengurangkan pendedahan kepada peningkatan kos sewa dari semasa ke semasa.
“Pelaburan ini dijangka melengkapi pengembangan runcit kami yang berterusan dan meletakkan kumpulan dengan lebih baik untuk pertumbuhan masa hadapan,” katanya.
SSF yang kini mempunyai lebih 40 kedai runcit di seluruh negara meneruskan pengembangannya dengan pembukaan cawangan baharu di Jerantut dan Mega Square, Kuantan, antara Ogos hingga Oktober lalu, diikuti pembukaan cawangan di Ayer Keroh, Melaka, yang dijadualkan hari ini.
Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek perniagaannya meskipun berdepan peningkatan kos pengeluaran dan logistik, tekanan inflasi serta ketidaktentuan geopolitik, dengan memberi tumpuan kepada pengembangan cawangan strategik, kecekapan kos serta pengurusan inventori dan modal yang berdisiplin.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
