VIENNA – Seutas kalung berlian bernilai jutaan dolar dicuri dari sebuah muzium di Vienna, menurut kenyataan polis Austria pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Polis telah mengeluarkan gambar barang kemas tersebut, yang dihasilkan oleh pembuat barang kemas mewah dari Paris, Van Cleef & Arpels.
Muzium Seni Gunaan Vienna (MAK) tidak memberikan butiran lanjut mengenai barang yang dicuri namun maklumat di laman webnya menunjukkan bahawa ia mungkin merupakan kalung diraja yang mengandungi 673 butir berlian dengan berat keseluruhan melebihi 200 karat.
Pihak muzium hanya mengesahkan bahawa satu kejadian kecurian telah berlaku semasa pameran barang kemas mereka dan menyatakan tiada sesiapa yang cedera.
Mereka juga memaklumkan tiada maklumat akan diberikan mengenai siasatan yang sedang dijalankan.
MAK telah mempamerkan lebih 300 koleksi barangan Van Cleef & Arpels sejak awal Jun.
Gambar pameran yang dipaparkan di laman web muzium menunjukkan kalung tersebut berada di dalam bekas pameran kaca.
Keterangan yang disertakan menyatakan bahawa kalung itu pernah menjadi milik Ratu Nazli dari Mesir, yang memakainya pada 1939 semasa majlis perkahwinan anak perempuannya, Fawzia, dengan Putera Mahkota Iran ketika itu, Mohammad Reza Pahlavi yang kemudiannya menjadi Shah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut rumah lelongan Sotheby’s, kalung itu telah dijual pada harga sekitar AS$4.3 juta dalam satu acara lelongan di New York pada 2015.
Polis menyatakan dua lelaki yang tidak dikenali telah memecahkan bekas pameran semasa waktu operasi muzium, mengambil barang kemas tersebut dan melarikan diri.
Gambar yang dikeluarkan polis menunjukkan dua suspek berpakaian gelap di dalam muzium tersebut. – BERNAMA-dpa
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
