TRISHULI – Hampir 1,500 orang termasuk sekurang-kurangnya 800 warga asing, dilaporkan hilang di sempadan Nepal-Tibet-China setakat ini selepas banjir besar melanda bandar serta lembah di situ susulan gempa bumi.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, sekurang-kurangnya 55 warga Malaysia turut dilaporkan hilang dalam bencana alam itu, manakala polis Nepal berkata, jumlah korban dijangka meningkat melebihi 165 orang yang dicatatkan sekarang.
“Jumlah ini akan meningkat kerana kami sudah menyambung semula operasi mencari dan lebih banyak mayat dijangka ditemui,” kata jurucakap polis, Abi Narayan Kafle, kepada REUTERS.
Pasukan penyelamat di Nepal menggunakan helikopter untuk mencari mangsa terselamat dan menghantar bekalan kecemasan kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan selepas bencana alam melanda pada pagi Rabu.
Di daerah paling teruk terjejas, helikopter menggugurkan khemah, makanan dan bekalan kecemasan lain yang disumbangkan negara jiran, India, kata Raja Ram Basnet, jurucakap tentera Nepal.
Lebih 5,000 anggota tentera dan polis menyertai operasi menyelamat yang berjaya menyelamatkan 125 orang pada Khamis, termasuk 20 warga asing, katanya.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, bergerak melalui jalan darat ke Bidur, satu daripada daerah paling teruk terjejas di Nuwakot, untuk menilai keadaan banjir, menurut pejabatnya menerusi media sosial.
Banjir itu memusnahkan kediaman, laluan darat serta projek tenaga di Nepal, manakala pihak berkuasa di Tibet mengesahkan kebimbangan berlaku korban jiwa yang tinggi di pintu sempadan daerah Gyirong.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Laporan awal pihak berkuasa Nepal mendapati gempa bumi berukuran 4.4 pada skala Richter di kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca gelongsoran bahagian bawah glasiar sehingga mencetuskan banjir berkenaan.
Jurucakap Lembaga Pelancongan Nepal, Sunil Sharma, berkata 133 pelancong yang hilang terdiri daripada warga India yang dalam perjalanan mengerjakan ibadat keagamaan.
Tragedi itu berlaku di kawasan pergunungan yang sukar dilalui serta menjadi tumpuan pendaki dan penganut agama Hindu serta Buddha, menghubungkan Lhasa di Tibet dengan ibu negara Nepal, Kathmandu.
Ramai mangsa sedang menunaikan ziarah ke Kailash Mansarovar, kawasan tanah tinggi di Tibet yang dianggap suci oleh penganut Hindu dan Buddha serta beberapa agama lain.
Beliau berkata, baki pelancong yang hilang membabitkan 47 warga Amerika Syarikat (AS), Australia (34), Britain (33), Kanada (24) dan Malaysia (55) manakala kewarganegaraan pelancong lain belum dapat dipastikan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata pasukan PBB dan rakan kerjasama sedang menggerakkan bekalan serta anggota ke Nepal bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana itu.
Penyiar negara China melaporkan tiga terbunuh, manakala 265 lagi masih hilang di Gyirong. Menurutnya, jumlah korban masih dalam proses pengesahan dan operasi menyelamat sedang dijalankan.
Korea Selatan pula memaklumkan lapan rakyatnya yang bekerja di sebuah loji hidroelektrik turut dilaporkan hilang.
Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan tanah runtuh di Pelabuhan Gyirong memutuskan hubungan jalan darat, komunikasi dan bekalan elektrik di wilayah Shigatse berhampiran sempadan.
Pasukan penyelamat menerusi siaran televisyen CCTV memaklumkan, pemerhatian menggunakan dron mendapati semua laluan ke lintasan sempadan musnah sepenuhnya dan usaha bagi menghubungi pihak pelabuhan sempadan Gyirong masih gagal.
Susulan limpahan air lumpur deras dari ketinggian hampir 2,000 meter dari aras laut, amaran banjir dikeluarkan di negeri Uttar Pradesh dan Bihar, India.
Pihak berkuasa Bihar sudah memindahkan kira-kira 5,000 penduduk dari enam daerah dan merancang memindahkan sehingga 12,000 orang sebagai langkah berjaga-jaga. – AGENSI
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
