Oleh:Muhammad Zamratur Rahman Yussri
SEREMBAN – Kumpulan muzik moden The Bachelors Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni Pusat Kebudayaan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuktikan keunggulan mereka apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Battle of The Band Kepenggunaan peringkat Negeri Sembilan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.
Kemenangan bermakna itu secara tidak langsung melayakkan The Bachelors USIM menggalas mandat penting untuk mewakili Negeri Sembilan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada September ini.
Saingan sengit sepanjang pertandingan menyaksikan TVETMARA (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) Rembau menduduki tempat kedua.

Kehangatan saingan turut terserlah melalui Pertandingan Sorakan Perang (War Cry) yang menyaksikan kehebatan serta persembahan bertenaga daripada USIM yang turut membolot tempat pertama dengan membawa gelaran juara keseluruhan, manakala TVETMARA Rembau sekali lagi mengukuhkan kedudukan di tempat kedua.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor berkata, pencapaian pelajar USIM pada hari ini adalah hasil usaha dan pengorbanan mereka semasa cuti semester serta sikap tidak pernah mengenal erti putus asa dan lelah demi mengharumkan nama universiti.
Sementara itu, ahli kumpulan The Bachelors, Muhammad Mifzal Muhammad Faruq menyifatkan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk mereka meningkatkan latihan intensif serta memperbaiki segala kelemahan sebagai persediaan menghadapi persaingan di peringkat kebangsaan kelak.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan telah disempurnakan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kejayaan berkembar ini memperlihatkan keupayaan serta semangat juang tinggi pelajar USIM, sekali gus menyuntik semangat juang tinggi buat kumpulan The Bachelors untuk terus memburu kejuaraan dan mengharumkan nama Negeri Sembilan di pentas kebangsaan nanti.
Penulis ialah Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
