Oleh: Muhammad Zamratur Rahman Yussri
TERENGGANU — Dari kesibukan menelaah buku dan mengejar tuntutan peperiksaan semester, suara seorang mahasiswa kembali bergema di pentas puisi.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi sekali lagi membuktikan kecintaan terhadap bahasa dan seni mampu menyalakan keberanian untuk bersaing di pentas yang lebih besar.
Mewakili negeri Terengganu, Nik Faruqi Naim yang juga anggota kumpulan KHUPAS, Angkatan Seni Budaya muncul johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-40 peringkat Negeri Terengganu 2026, sekali gus mengulangi langkahnya ke pentas kebangsaan untuk kali kedua.
Kemenangan itu diraih dalam pertandingan yang berlangsung pada 25 Julai lalu di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu anjuran bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) serta Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).
Di pentas pertandingan, Nik Faruqi Naim menyampaikan puisi Rumah Bangsa nukilan Ahmad Zauawi Che Cob. Deklamasinya bukan sekadar menghidupkan bait-bait puisi, tetapi menjadi wadah untuk menyuarakan semangat kebangsaan melalui penghayatan, vokal dan penguasaan pentas.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir ketika beliau sedang berdepan kesibukan akademik dan tempoh peperiksaan semester. Namun, kecintaan mendalam terhadap puisi mendorongnya untuk terus membahagikan masa antara tuntutan pengajian dengan latihan.
Bagi Nik Faruqi Naim, perjalanan ini bukan lagi langkah pertama. Pada 2024, beliau pernah membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan buat julung kalinya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Tahun ini, beliau kembali dengan pengalaman yang lebih matang, bersedia menguji kemampuan bersama peserta dari seluruh negara, termasuk wakil daripada pasukan beruniform.
Kejayaan di peringkat negeri itu melayakkan beliau sekali lagi membawa panji Terengganu ke SDPK peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos ini di Kuching, Sarawak.
Kembalinya Nik Faruqi Naim ke pentas kebangsaan turut memperlihatkan kesinambungan bakat seni mahasiswa USIM yang tidak pernah sepi daripada gelanggang puisi.
USIM turut menghantar beberapa wakil pelajar ke peringkat negeri, antaranya Abdul Rasmin Abdul Rahman di Selangor dan Naurah Mursyidah Naili Nasir di Perak.
Pencapaian tersebut bukan sekadar sebuah kemenangan peribadi, sebaliknya menjadi cerminan kesungguhan, komitmen dan potensi mahasiswa USIM dalam mengangkat seni budaya serta kesusasteraan Melayu, khususnya seni deklamasi puisi.
Lebih jauh, kejayaan itu meneruskan tradisi kecemerlangan USIM dalam SDPK, apabila wakil universiti secara konsisten berjaya melangkah ke peringkat kebangsaan sejak 2018.
Rekod penyertaan USIM ke peringkat akhir SDPK turut tercatat pada 2018, 2020, 2023, 2024, 2025 dan 2026, memperlihatkan kesinambungan sebuah tradisi yang tidak sekadar melahirkan mahasiswa berilmu, tetapi turut membina bakat seni yang berani berdiri dan bersuara di hadapan khalayak.
Kini, sekali lagi suara mahasiswa USIM itu akan bergema di Kuching.
Dari Terengganu, Nik Faruqi Naim kembali ke pentas kebangsaan, bukan sekadar membawa kemenangan, tetapi maruah negeri, nama universiti dan semangat sebuah generasi yang masih percaya puisi mampu menjadi suara bangsa.
Penulis adalah Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
