KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari pertuduhan mengedar dadah, kini diarahkan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan tersebut.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam penghakiman yang disampaikan Datuk Radzi, panel berpendapat terdapat alasan mencukupi untuk Mahkamah Rayuan campur tangan terhadap dapatan hakim Mahkamah Tinggi pada akhir kes pembelaan sebelum ini.
Menurut panel berkenaan, terdapat kekhilafan dalam penilaian terhadap keterangan pembelaan sehingga mahkamah terdahulu mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sebaliknya, Mahkamah Rayuan berpendapat pembelaan gagal berbuat demikian dan tidak berjaya mematahkan anggapan undang-undang berkaitan pemilikan serta pengedaran dadah yang berada di bawah kawalan Ismahalil.
“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden daripada pertuduhan,” kata panel hakim dalam penghakiman tersebut.
Dengan keputusan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Ismahalil melampaui keraguan munasabah dan panel hakim turut mendapati pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap keseluruhan kes pendakwaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Keputusan itu mengembalikan sabitan terhadap Ismahalil dan membawa kepada pengenaan hukuman penjara selama 30 tahun.
Ketika prosiding hukuman, peguam yang mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim, memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan terhadap anak guamnya.
Peguam itu berhujah, faktor usia serta tanggungan keluarga perlu diberikan perhatian dalam menentukan hukuman yang bersesuaian.
“Saya memohon hukuman yang ringan terhadap responden berdasarkan faktor usia serta tanggungan pendapatan yang tinggi perlu ditanggungnya,” katanya.
Pihak pembelaan turut memaklumkan Ismahalil merupakan pencari nafkah tunggal kepada keluarganya, justeru hukuman yang dikenakan akan memberi kesan besar terhadap tanggungan yang bergantung kepadanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara terhadap Ismahalil.
Ismahalil, yang juga dikenali sebagai pengasas Bapakku FM, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Kesalahan mengedar dadah di bawah peruntukan tersebut merupakan antara kesalahan dadah yang serius dan memperuntukkan hukuman berat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
